Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara itu antara tujuh syor yang dikemukakan kepada kementerian terlibat hasil prosiding projek BALB Sabah dan Sarawak yang diadakan sebanyak tiga kali bermula 24 Julai lepas.
Beliau berkata syor lain termasuk langkah memantapkan kaedah pengurusan projek dan koordinasi proaktif secara berterusan antara KKDW, kerajaan negeri dan agensi bagi memastikan projek yang dirancang siap mengikut jadual.
"KKDW juga perlu memastikan Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) pelan pencegahan dan pemulihan berjadual sebelum projek diserahkan kepada kerajaan negeri.
"Selain itu, KKDW perlu memasukkan kos penyediaan tangki air dan pemasangan meter di bawah projek BALB bagi penduduk yang tidak berkemampuan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Syor lain termasuk melaksanakan rundingan untuk menyelesaikan isu meter air yang tidak dipasang kerana penduduk tidak berkemampuan.
Mas Ermieyati berkata PAC juga mengesyorkan supaya KKDW mengemukakan status pelan peralihan bekalan elektrik generator kepada bermeter untuk 15 loji terlibat, dan saranan kepada PAC negeri serta kerajaan negeri untuk memantau projek berkenaan.
Beliau berkata dalam prosiding itu termasuk satu yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, PAC telah memanggil beberapa saksi berkaitan antaranya ketua audit negara dan timbalannya, ketua setiausaha (KSU) KKDW, pengarah Jabatan BALB Sarawak dan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata prosiding PAC merumuskan antara kelemahan yang dikenal pasti adalah ketiadaan pelan induk penyediaan bekalan air luar bandar yang menyeluruh, kurang koordinasi antara agensi, ketiadaan pelan pencegahan serta pemuliharaan.
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati memaklumkan sesi pendengaran awam kali kedua berhubung prosiding kenaikan insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam akan diadakan esok di Parlimen.
"Sesi ini bertujuan mengumpulkan maklumat, maklum balas dan pandangan rakyat berhubung isu berkenaan dan sesi yang bermula pukul 8 pagi itu terbuka untuk penyertaan orang awam," katanya.
Beliau berkata PAC menetapkan prosiding berhubung isu itu bermula pada Isnin depan dan akan diadakan sebanyak sembilan kali dengan memanggil saksi antaranya Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kementerian Kesihatan.
-- BERNAMA
