SHAH ALAM: Polis Selangor mencadangkan papan tanda atau plakad 'Tidak Pada Dadah' diletakkan pada laluan masuk ke tempat konsert sebagai syarat permit permohonan penganjuran konsert di negeri berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia antara syor yang dikemukakan pihaknya kepada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada awal bulan ini sebagai antara usaha membendung pengambilan dadah dalam acara hiburan.

Beliau berkata langkah itu bagi memperkemas dan memperketatkan lagi syarat-syarat kepada penganjur konsert yang sebelum ini peringatan tidak boleh mengambil dadah dan sebagainya hanya dinyatakan pada tiket konsert.

"Ini secara tidak langsung diharap dapat mengekang penggunaan dadah dalam mana-mana konsert.

"Cadangan ini akan diletakkan di dalam syarat-syarat permit bagi penganjuran acara hiburan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 3 Jan lepas, Polis Selangor dilaporkan mencadangkan keperluan garis panduan baharu dalam sesuatu penganjuran konsert diwujudkan termasuk dari segi bilangan pengunjung mengikut keluasan tempat selain aspek keselamatan daripada penjualan dadah serta pengudaraan.

Cadangan itu susulan daripada kes kematian empat individu termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an yang dilaporkan maut disyaki akibat pengambilan ekstasi selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway hujung tahun lalu.

Polis kemudiannya mengesahkan berdasarkan laporan patologi kematian tiga pengunjung di konsert itu berpunca daripada pengambilan dadah jenis perangsang dan masih menanti laporan seorang lagi mangsa.

Mengulas lanjut, Hussein berkata pihaknya turut memberikan taklimat kepada Menteri Belia dan Sukan berhubung hasil siasatan kejadian kematian pada konsert itu selain berkongsi cadangan langkah-langkah tambahan kepada pihak penganjur konsert.

"Polis juga memberi komitmen untuk meningkatkan risikan dalam atau semasa konsert bagi tujuan mencegah pengambilan dadah bagi mengelak kes kematian akibat bahan terlarang itu," katanya.

-- BERNAMA