KUALA LUMPUR: Tiga persatuan utama insurans negara telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa KIra-Kira Wang Negara (PAC) bagi meningkatkan kemampuan, ketelusan serta kemampanan dalam sektor penjagaan kesihatan dan insurans Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata antara cadangan itu adalah memaparkan kos purata prosedur dan rawatan biasa di seluruh hospital swasta serta kadar inflasi kos perubatan tahunan bagi memastikan pengguna lebih celik dari segi kewangan.

Aspek lain adalah pelaksanaan penetapan harga kelompok berkaitan diagnostik untuk meningkatkan ketelusan dalam caj perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengebilan.

"Langkah penyelarasan struktur kos antara penyedia penjagaan kesihatan, penanggung insurans, pengendali takaful (ITO) dan pentadbir pihak ketiga adalah penting dalam menguruskan perbelanjaan penjagaan kesihatan dengan berkesan," katanya.

Tiga persatuan itu turut mencadangkan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia dalam membangunkan produk insurans dan takaful mampan jangka panjang selain membenarkan ITO menawarkan skim tambah nilai untuk mereka yang berhasrat mendapatkan perlindungan tambahan.

"Pewujudan pangkalan data tuntutan bagi keseluruhan industri akan meningkatkan analisis tuntutan selain membantu mengurangkan penyalahgunaan.

"Pembayaran bersama produk insurans perubatan, kesihatan dan takaful (MHIT) adalah penyelesaian jangka panjang penting untuk membantu pemegang polisi dan pemegang sijil menguruskan kos dengan menggalakkan tanggungjawab bersama dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan.

"Langkah pembayaran bersama, khususnya insurans bersama, boleh menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab," katanya.

Cadangan lain adalah gesaan bagi mengawal selia kos farmaseutikal menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan penggunaan ubat generik dan mengawal selia harga ubat.

Ini susulan laporan menunjukkan aspek farmaseutikal turut menjadi penyumbang utama dalam perolehan hasil hospital swasta, sekali gus menandakan keperluan bagi mengawal kos.

"Sehubungan itu, kami menggesa pihak hospital swasta untuk mewujudkan unit kawalan kos dan bertindak membekukan kenaikan apabila syarikat insurans dan pengendali takaful diwajibkan mengekang kenaikan premium.

"Langkah ini memastikan usaha kawalan kos dilaksanakan merentasi ekosistem penjagaan kesihatan," katanya.

Tiga persatuan itu turut mencadangkan pengecualian cukai bagi insurans berkelompok daripada cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak lapan peratus untuk menggalakkan lebih ramai majikan menyediakan perlindungan insurans dan takaful untuk pekerja.

"Pada masa ini, kira-kira empat juta pekerja, termasuk daripada golongan B40, mendapat perlindungan menerusi skim di tempat kerja," katanya.

Cadangan lain termasuk melantik perunding bebas bagi melaksanakan kajian terperinci bagi menganalisis dan mengemukakan syor tindakan bagi pihak berkepentingan untuk mengurangkan inflasi tuntutan.

"Kajian secara menyeluruh itu akan mengetengahkan maklumat berteraskan data serta menyarankan tindakan untuk mengawal kenaikan kos tuntutan.

"Kami juga menggalakkan usaha mewujudkan insentif gaya hidup lebih sihat menerusi bonus tanpa tuntutan dan sistem ganjaran untuk individu yang berupaya mengekalkan kesihatan yang baik. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan kesejahteraan, meningkatkan penglibatan pemegang polisi dan kesetiaan selain mengurangkan tuntutan perubatan yang tidak wajar," katanya.

-- BERNAMA