Beliau berkata Airbus dan Rolls Royce telah diminta untuk memastikan kawalan kualiti yang lebih ketat terhadap pesawat baharu yang akan diterima pada masa akan datang itu.
"Dalam hal ini, Malaysia Airlines akan sentiasa memastikan kualiti pengeluaran pesawat yang ditempah pada tahap terbaik terutama pada baki pesawat yang belum diterima kerana keselamatan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan," katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang mahu tahu tindakan diambil susulan Malaysia Airlines yang menggantung sementara operasi pesawat baharu Airbus A330neo pada 19 Dis lepas akibat masalah teknikal.
Hasbi berkata pesawat Airbus A330neo pertama Malaysia Airlines yang digantung operasi kira-kira 48 jam selepas mengalami masalah teknikal pada Disember lepas itu telah meneruskan operasi selepas penggantian komponen yang bermasalah.
Beliau berkata pesawat itu telah melaksanakan 101 penerbangan setakat ini tanpa sebarang isu melibatkan laluan Kota Kinabalu, Kuching, Doha (Qatar), Melbourne (Australia), dan Kansai (Jepun).
"Selain itu, MAG juga mempunyai sebuah enjin gantian untuk kegunaan Airbus A330neo dan tiga enjin gantian yang dijangka diterima secara berperingkat mulai suku ketiga 2025," katanya.
Hasbi berkata operasi Airbus A330neo pertama itu dihentikan sementara pada 22 dan 23 Dis berikutan isu teknikal pesawat yang disebabkan oleh pengeluar pesawat iaitu Airbus dan pembekal enjin Rolls Royce.
"Secara umumnya pengeluar pesawat di seluruh dunia mengalami masalah kualiti pengeluaran pesawat yang disebabkan antaranya kekurangan bahan mentah untuk penghasilan alat ganti pesawat dan tenaga kerja mahir di industri pengeluaran," katanya.
Sebelum ini, Malaysia Airlines bertindak menggantung operasi pesawat berkenaan selama sekurang-kurangnya 48 jam selepas melakukan penerbangan sulung ke Melbourne pada 19 Dis lepas.
Pesawat yang dilengkapkan dengan teknologi enjin terbaharu Rolls Royce itu mengalami masalah teknikal yang dibimbangi berkaitan dengan kualiti pengeluaran serta proses penghantarannya.
-- BERNAMA
