Ringkasan AI
- Lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kategori miskin dan miskin tegar untuk pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit.
- Kerajaan mula menyalurkan SARA melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima, dengan kadar bantuan ditingkatkan kepada RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.
- Program SARA diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, dengan 82% penerima di Sabah dan 78% penerima di Sarawak telah mula membuat perbelanjaan di lebih 560 kedai berdaftar.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembelian tersebut dibuat di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit yang terlibat.
"Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,600 buah di seluruh negara, berbanding hanya 700 pada 2024 dan bilangan kedai runcit ini sedang dan akan sentiasa ditambah.
"Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan bantuan tunai langsung terus disalurkan kepada golongan rentan dalam mendepani cabaran kos sara hidup," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai keberkesanan penyaluran bantuan SARA melalui MyKad untuk 2025 berbanding secara tunai sebelum ini.
Amir Hamzah menjelaskan bahawa kerajaan telah mula menyalurkan SARA pada 15 Jan lepas melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih.
Katanya bagi tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri semenanjung Malaysia pada tahun lepas. Kadar bantuan SARA juga ditingkatkan kepada RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.
"Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025.
"Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan dan mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Andi Muhammad Suryady mengenai penerima di Sabah dan Sarawak, Amir Hamzah berkata setakat semalam, 82 peratus penerima isi rumah di Sabah dan 78 peratus penerima isi rumah di Sarawak telah mula membuat perbelanjaan sejak 15 Jan lepas di lebih 560 kedai yang berdaftar termasuk di kawasan pedalaman.
Beliau berkata berdasarkan prestasi pelaksanaan program SARA pada 2024, yang turut melibatkan kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di Kelantan dan Perlis dengan tuntutan sebanyak 97 peratus, diikuti Terengganu dan Kedah sebanyak 95 peratus, di lebih 700 kedai berdaftar.
-- BERNAMA