Ringkasan AI
- Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Kesihatan dan timbalannya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
- Ketidakhadiran kedua-dua pemimpin itu disifatkan sebagai perkara luar biasa dan dikritik kerana tidak menghormati Dewan serta ahli yang bersedia bertanya soalan.
- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat meminta soalan diteruskan kepada kementerian lain dan menegaskan soalan tidak boleh ditangguhkan sehingga kehadiran menteri.
KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Perkara itu dibangkitkan selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, meminta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, mengemukakan soalan ketiga kepada Kementerian Kesihatan seperti yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Bagaimanapun, Lau memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan dan timbalannya tidak berada di dalam Dewan ketika itu.
Susulan itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, bangkit mempersoalkan ketidakhadiran kedua-dua pemimpin berkenaan dan menyifatkannya sebagai perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Macam mana Kerajaan MADANI ini? Menteri dan Timbalan Menteri tidak ada dalam Dewan, tidak menghormati Dewan dan kawan-kawan yang sudah bersedia bertanya soalan,” katanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saifulruddin Wan Jan, kemudian meminta supaya ketidakhadiran Menteri Kesihatan dan timbalannya direkodkan.
Bagaimanapun, Lau meminta beliau meneruskan soalan kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.
Dalam perkembangan sama, Zahir turut bertanya sama ada beliau dibenarkan mengemukakan soalannya selepas Dr Dzulkefly atau Hanifah tiba di Dewan.
Namun, Lau memaklumkan perkara itu tidak dibenarkan dan meminta Wan Saifulruddin meneruskan soalannya.