KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan, sebaliknya sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan itu mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing bagi memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara dan kemampuan kewangan kerajaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, prestasi ekonomi negara terus dipantau berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan.
Langkah itu juga bagi memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menjelaskan proses penentuan pendirian rasmi kerajaan, beliau berkata setiap dasar dan keputusan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya bagi memastikan tadbir urus yang berkesan.
"Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta penjelasan sama ada percanggahan terbuka antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menunjukkan wujudnya perpecahan dalam kerajaan serta pihak yang menentukan pendirian rasmi kerajaan.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan setiap keputusan diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
Pada 26 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, sebahagian projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diluluskan bagi 2026 dibatalkan berikutan tiada penyaluran dana, meskipun peruntukan sudah tersedia.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menafikan dakwaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di kedua-dua negeri itu dibatalkan, sebaliknya menjelaskan hanya proses tender dan penganugerahan Surat Setuju Terima (SST) baharu ditangguhkan.