Ringkasan AI
- Tiga syarikat, termasuk satu yang berusia lapan bulan, diberikan kelulusan bersyarat untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan memiliki modal berbayar mencukupi, bukan "syarikat RM2".
- Syarikat tersebut adalah syarikat bertujuan khas (SPV) dengan modal berbayar RM20 juta dan dimiliki penuh oleh bumiputera, dengan ketiga-tiga pengarahnya juga bumiputera.
- Kementerian Pengangkutan menetapkan kriteria untuk memastikan syarikat baharu melabur dalam kepakaran dan keupayaan industri pemeriksaan kenderaan, dengan keupayaan kewangan sebagai faktor utama untuk memenuhi piawaian termasuk peralatan pemeriksaan, tenaga kerja, dan kebolehlaksanaan operasi.
Menurutnya, syarikat yang dipilih bukan 'syarikat RM2', sebaliknya mempunyai keupayaan modal yang mencukupi untuk melengkapkan keperluan infrastruktur berdasarkan kriteria ditetapkan kerajaan.
"Memang betul orang cakap lapan bulan, yang betul adalah dia syarikat SPV (syarikat bertujuan khas), ditubuhkan untuk membolehkan syarikat berkenaan memohon perkhidmatan sebagai pusat pemeriksaan kenderaan motor.
"Tetapi syarikat yang dikatakan lapan bulan ini, dia ada perniagaan lain, bukan syarikat baharu. Bukan syarikat RM2...(tapi) syarikat yang ada (modal) RM20 juta...ada modal yang cukup.
"Syarikat ini juga milik penuh Bumiputera, ketiga-tiga pengarah adalah Bumiputera. Jadi kita kena yakinlah dengan syarikat-syarikat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kriteria teknikal yang ditetapkan sehingga membolehkan tiga syarikat yang tiada pengalaman dipilih.
Dalam pada itu, Anthony menjelaskan, aspek paling penting adalah pemeriksa kenderaan mesti mempunyai tauliah yang hasil penilaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Apabila syarikat sudah siapkan semua kelengkapan, perlu ada pemeriksa kenderaan yang bertauliah yang perlu dilantik.
"Macam mana bertauliah? Dia ambil orang bekerja, mesti pergi kursus dulu, yang ditetapkan penilaian oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terhadap tenaga kerja tersebut.
"Bila bertauliah, baru boleh jalankan fungsi pemeriksaan kenderaan. Jadi proses ini agak panjang dan teliti.
"Ia juga dibuat secara terbuka. Tak ada sorok-sorok...kalau nak sorok, saya tak perlu umum nama syarikat-syarikat ini," katanya.
Dalam pada itu, Loke turut menjelaskan, antara syarat utama perlu dipenuhi oleh syarikat yang menyertai proses tawaran adalah memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan dan mempunyai modal pusingan minimum RM5 juta setahun.
"Syarikat berkenaan juga perlu berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sendirian Berhad (Sdn Bhd) atau Berhad (Bhd).
Katanya, syarikat juga itu juga diwajibkan memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran dan menyediakan wang deposit atau bon minimum lima peratus daripada nilai modal pusingan.
"Selain itu, syarikat juga perlu memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan serta berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan," ujarnya.
