Skip to main content

Malaysia

Pasport Malaysia di tangga kedua dunia cerminan keyakinan global - Saifuddin Nasution

Pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi global, sekali gus memberikan mobiliti yang lebih luas kepada rakyat. - Foto Facebook/Saifuddin Nasution Ismail
Pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi global, sekali gus memberikan mobiliti yang lebih luas kepada rakyat. - Foto Facebook/Saifuddin Nasution Ismail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pasport Malaysia kini berada di tangga kedua dunia menurut The Passport Index Global Ranking 2026, meningkat daripada kedudukan ketiga tahun lalu.
  • Kedudukan ini membolehkan pemegang pasport Malaysia mengakses 175 destinasi global, memudahkan perjalanan, pendidikan, kerjaya, perniagaan dan pelaburan antarabangsa.
  • Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia komited memperkukuh integriti, keselamatan dan kecekapan sistem imigresen serta dokumen perjalanan negara.

PUTRAJAYA: Kedudukan pasport Malaysia di tangga kedua dunia merupakan pencapaian yang mencerminkan keyakinan global terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti sistem negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pencapaian itu turut membawa manfaat nyata kepada rakyat menerusi akses perjalanan antarabangsa yang lebih luas, selain membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan, kerjaya, perniagaan dan pelaburan.

“Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, antara tumpuan utama negara adalah untuk meningkatkan siling pertumbuhan negara dengan memperluas jangkauan antarabangsa, memperkukuh kedudukan diplomatik serta meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sebuah negara yang maju dan dihormati memerlukan sistem yang kukuh, berintegriti dan diyakini supaya pintu peluang global terus terbuka luas kepada rakyat Malaysia.

Media melaporkan pasport Malaysia berada di kedudukan kedua dunia berdasarkan The Passport Index Global Ranking 2026, meningkat daripada kedudukan ketiga pada tahun sebelumnya.

Saifuddin Nasution juga berkata pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi global, sekali gus memberikan mobiliti yang lebih luas kepada rakyat.

“Keyakinan dunia terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti sistem negara kini diterjemahkan melalui satu lagi pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Katanya pencapaian tersebut tidak berlaku dengan sendiri, sebaliknya hasil usaha berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam memastikan sistem imigresen dan dokumen perjalanan negara terus mempunyai tahap integriti serta keselamatan yang tinggi.

Beliau berkata KDN dan JIM akan terus memperkukuh keselamatan sempadan negara tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan dan kedaulatan, selain meningkatkan kecekapan sistem imigresen serta mutu penyampaian perkhidmatan supaya sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat.

“KDN dan JIM akan memelihara integriti pasport dan dokumen perjalanan Malaysia agar terus dihormati serta diyakini pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas manfaat pencapaian itu kepada rakyat, Saifuddin Nasution berkata kedudukan tinggi dalam carta dunia hanya benar-benar bermakna apabila diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati rakyat.

Katanya antara manfaat itu adalah kelancaran perjalanan yang memudahkan rakyat Malaysia melancong, menjalankan urusan dan melakukan perjalanan ke luar negara dengan akses yang lebih luas.

Beliau berkata pencapaian itu turut membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk meneroka peluang pendidikan tinggi serta membina pengalaman dan kerjaya pada peringkat antarabangsa.

“Dalam pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, pencapaian ini memudahkan usahawan Malaysia meneroka pasaran baharu, membina jaringan perniagaan antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang ekonomi yang akhirnya membawa manfaat kepada keluarga dan negara,” katanya.

Menteri KDN itu juga berkata kedudukan pasport Malaysia sebagai pasport kedua dunia bukanlah titik akhir, sebaliknya menjadi dorongan kepada KDN dan JIM untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement