Skip to main content

Malaysia

PBEM gesa MOT, APAD wujudkan portal penjualan tiket bas ekspres berpusat nasional

- Gambar hiasan/BERNAMA
- Gambar hiasan/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM) menggesa MOT dan APAD memastikan portal penjualan tiket bas ekspres berpusat diwujudkan sebelum dasar hak mutlak terminal dikuatkuasakan.
  • PBEM meminta larangan atau sekatan penjualan tiket melalui platform OTA ditangguhkan sehingga semua terminal mencapai kesiapsiagaan sistem dan operasi yang memuaskan.
  • PBEM turut menggesa garis panduan seragam, penilaian kesan persaingan, serta penetapan caj terminal mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), memastikan Portal Penjualan Tiket Bas Ekspres Berpusat Peringkat Nasional diwujudkan dan beroperasi sepenuhnya, sebelum dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal dikuatkuasakan.

Pengerusinya Mohamad Nazri Md Yusof berkata langkah itu penting, bagi memastikan kemudahan pembelian tiket melalui platform Online Travel Agent (OTA) tidak terjejas, khususnya bagi perjalanan yang melibatkan beberapa terminal dengan sistem penjualan tiket dan pengurusan berbeza.

“Pada masa ini, platform OTA membolehkan pengguna membuat carian, perbandingan jadual perjalanan dan pembelian tiket bas ekspres daripada pelbagai pengendali serta terminal, melalui satu portal bersepadu.

Advertisement

“Sebaliknya, pelaksanaan dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal yang dikendalikan oleh syarikat pengurusan berbeza, berpotensi menyebabkan pengguna terpaksa mengakses portal penjualan tiket yang berlainan bagi setiap terminal, untuk mendapatkan perkhidmatan bas ekspres,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan itu katanya lebih rumit bagi terminal yang tidak dilengkapi Centralised Ticketing System (CTS), selain terminal di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang belum dilesenkan.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, PBEM meminta MOT campur tangan segera, termasuk menangguhkan sebarang larangan atau sekatan penjualan tiket melalui platform OTA, sehingga semua terminal mencapai tahap kesiapsiagaan sistem dan operasi yang memuaskan.

Mohamad Nazri berkata pengendali bas ekspres turut mengalami penurunan jualan tiket antara 30 hingga 50 peratus, sejak pengumuman dasar berkenaan pada 20 Okt lepas.

Beliau berkata PBEM tidak menolak dasar pemberian hak penjualan tiket kepada terminal, sebaliknya menyokong usaha meningkatkan kecekapan pengurusan terminal dan mutu perkhidmatan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kesiapsiagaan sistem, kejelasan peraturan serta kepentingan pengendali dan pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, PBEM turut meminta APAD meneliti asas perundangan bagi sebarang caj komersial baharu yang dicadangkan pihak terminal, termasuk caj terhadap penjualan tiket melalui platform OTA, sebelum dibenarkan dilaksanakan.

Mohamad Nazri berkata sebarang caj tambahan hendaklah mematuhi Seksyen 6(5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat, untuk menetapkan syarat lesen berhubung fi maksimum bagi penggunaan terminal.

Beliau berkata PBEM juga menggesa MOT menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam, menilai kesiapsiagaan semua terminal serta mewujudkan mekanisme rundingan dan pemantauan bersama pihak industri.

Selain itu, persatuan berkenaan meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menilai kesan dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal terhadap persaingan, termasuk risiko penyalahgunaan kedudukan dominan, penetapan caj tidak adil dan sekatan akses pasaran.

-- BERNAMA

 

  

Must Watch Video

Advertisement