Skip to main content

Malaysia

PDRM perkasa kawalan sempadan dengan AI, dron

TB_YUSRI HASSAN_ABDUL WAFI BIN NORAZMI
Mohd Yusri berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan di kawasan sempadan darat dan perairan negara yang berdepan pelbagai ancaman, termasuk kegiatan penyeludupan. - Gambar/ Astro AWANI/ Abdul Wafi Norazman
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara menerusi penggunaan dron, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perkongsian risikan dengan negara jiran bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan di kawasan sempadan darat dan perairan negara yang berdepan pelbagai ancaman, termasuk kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata, jenayah penyeludupan merupakan isu rentas sempadan yang memerlukan kerjasama erat dengan negara jiran bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Katanya, kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan Indonesia terus diperkukuh menerusi rondaan bersama, latihan, operasi bersepadu serta perkongsian maklumat risikan.

"Baru-baru ini saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi di Bangkok yang menghimpunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta rakan sejawat dari Thailand.

"Kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan di kawasan sempadan yang merangkumi operasi bersama, rondaan bersepadu, pertukaran risikan serta mesyuarat kumpulan kerja secara berkala bagi meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah rentas sempadan," katanya pada sidang media selepas Op Taring di Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, pada Khamis. 

Mohd Yusri berkata, PDRM kini memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi dalam operasi penguatkuasaan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual.

Beliau berkata, penggunaan dron, AI serta sistem perkongsian maklumat risikan akan diperkasakan bagi meningkatkan keupayaan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan.

Katanya, langkah itu penting memandangkan keluasan kawasan sempadan negara, terutama dari Perlis hingga Kelantan serta Sabah dan Sarawak, memerlukan pendekatan berasaskan teknologi bagi meningkatkan kecekapan kawalan dan mengekang aktiviti penyeludupan.

"Sempadan negara amat luas. Teknologi akan membantu meningkatkan keupayaan rondaan dan penguatkuasaan, sekali gus membolehkan kami mengekang kegiatan haram di kawasan sempadan dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerjasama erat dengan komuniti yang menetap di kawasan sempadan turut menjadi elemen penting dalam usaha membanteras penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.

Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) kini mempunyai 178 pos kawalan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan anggotanya sentiasa menjalinkan hubungan rapat bersama masyarakat menerusi program kepolisan komuniti.

"Apabila masyarakat yakin dan selesa bekerjasama dengan pihak berkuasa, mereka lebih cenderung menyalurkan maklumat yang membantu mengesan kegiatan penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyeludupan barangan kawalan.

"Maklumat daripada komuniti setempat banyak membantu pihak berkuasa mencapai kejayaan dalam operasi membanteras penyeludupan PATI, barangan kontraban dan barangan kawalan seperti petrol, diesel, beras, tepung serta gas memasak," katanya.

Must Watch Video

Advertisement