Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim, 50, turut menafikan kunjungan pasukan siasatan 1MDB ke Riyadh, Arab Saudi, pada November 2015 adalah sebahagian daripada rancangan yang telah diatur terlebih dahulu untuk membantu bekas perdana menteri itu.
"Kenaikan pangkat saya ditentukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu (Tan Sri Abu Kassim)," kata saksi pembelaan kelapan itu ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semasa perbicaraan kes Najib berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ahmad Akram: Boleh saya sifatkan kamu sebagai 'rising star' dalam SPRM?
Fikri: Saya memang naik pangkat dengan cepat.
Ahmad Akram: Dalam masa 11 ke 12 tahun, kamu naik pangkat ke JUSA C kerana kualiti kerja kamu dan dalam kumpulan kamu, kamu adalah orang pertama yang mendapat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA C).
Fikri: Saya percaya begitu.
Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Fikri menerangkan kenaikan pangkatnya berlaku semasa siasatan terhadap 1MDB masih berjalan.
"Saya berada di Gred 54 ketika saya pergi ke Arab Saudi. Saya hanya dinaikkan pangkat ke JUSA C pada 2017. Saya tidak rasa Datuk Seri Najib berperanan dalam kenaikan pangkat saya," katanya.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung pada Khamis ini.
-- BERNAMA
