Ringkasan AI
- Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar membantah permohonan tiga ahli Parlimen pembangkang untuk menjadi pemerhati dan melantik peguam pemerhati yang dibenarkan berhujah pada permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak.
- Najib memohon perintah mandamus untuk mengesahkan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.
- Mahkamah Rayuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman.
Semakan kehakiman itu berhubung dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.
Dalam afidavit jawapan difailkan pada 10 Feb lepas, Mohd Dusuki berkata permohonan yang difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dan Naib Presiden PAS Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar adalah tidak bermerit.
Menurut Mohd Dusuki, peguam pemerhati tidak mempunyai sebarang hak untuk didengari dan berhujah kecuali hak untuk memerhati sahaja dan tiada keperluan untuk peguam pemerhati berhujah berhubung subjek pertikaian dalam kes berkenaan.
"Jika terdapat isu perlembagaan berbangkit ketika pendengaran permohonan semakan ini kelak, peguam cara Datuk Seri Najib mempunyai kewibawaan berhujah tanpa memerlukan kehadiran mahupun hujahan daripada pihak pemohon," katanya dalam afidavit jawapan yang diperoleh media hari ini.
Selain itu ,ketiga-tiga pemohon itu bukan pihak dalam permohonan Perintah Larang Suara (gag order) yang difailkan kerajaan, yang melarang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan dokumen tambahan tersebut.
Mohd Dusuki berkata pemohon tidak mempunyai sebarang hak untuk membangkitkan sebarang bantahan terhadap permohonan pihaknya itu kerana merit permohonan gag order bukanlah perkara yang perlu diputuskan dalam permohonan (untuk menjadi pemerhati) ini.
"Walau apa-apa keadaan sekali pun, pemohon dalam permohonan ini adalah dihalang daripada membincangkan isu-isu di dalam permohonan semakan kehakiman di Dewan Rakyat berdasarkan Peraturan 23(1)(g) dan Peraturan 36(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.
Pada 22 Jan lepas, ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memfailkan permohonan supaya dibenarkan menjadi pemerhati dan dibenarkan diwakili oleh peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS dan Zulkifli Nordin, untuk hadir dan berhujah pada setiap prosiding semakan kehakiman.
Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah jika dokumen tambahan itu wujud maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Lembaga Pengampunan bagaimanapun, mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
