Sim bagaimanapun berkata kemudahan itu hanya melibatkan kes kemalangan bencana pekerjaan serta penyakit khidmat, dan terdapat 1,400 klinik panel di seluruh negara, dengan 129 daripadanya di Pulau Pinang.
"Anda (pencarum) boleh jumpa terus ke mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di Malaysia dan mendapatkan rawatan perubatan, tak perlu bayar apa-apa.
"Jika sebelum ini anda perlu bayar dahulu lebih kurang RM150 hingga RM200 setiap kali rawatan, kemudian claim balik dengan PERKESO. Lepas sebulan, kita akan bayar balik.
"Tapi selepas ini, pada tahun ini, mereka boleh masuk ke klinik kami, tunjuk kad pengenalan kalau mereka semak, anda adalah ahli PERKESO, anda tidak perlu membayar satu sen pun," katanya yang mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal.
Sim berkata langkah itu dibuat bagi memudahkan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di klinik panel.
"Ini juga sebenarnya memudahkan majikan-majikan sebab ada majikan yang baik hati, kata pekerja saya cedera, pekerja saya sakit nak hantar ke klinik tapi dia kena bayar dahulu sebab nanti baru boleh tuntut PERKESO tetapi sekarang anda tidak perlu membayar. Pergi dapatkan rawatan, PERKESO akan membayar klinik mulai tahun ini," tambahnya.
Sim berkata tahun lepas PERKESO merekodkan tuntutan berjumlah RM8 juta melibatkan 20,000 kunjungan ke klinik panel.
Selasa lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu 66,574 kes bencana pekerjaan direkodkan PERKESO di seluruh negara sepanjang 2024, mencatatkan penurunan 2.4 peratus berbanding 68,220 kes pada 2023.
Sementara itu, pada majlis berkenaan Sim turut menyerahkan tuntutan pelbagai faedah PERKESO kepada 10 penerima yang bernilai keseluruhan RM145,972.86.
Faedah yang disampaikan itu meliputi Skim Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS) dan Pencen Penakat.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)