SANDAKAN: Seorang pekerja maut selepas dihempap jentera pengangkutnya sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Karamunting, Pelabuhan Sabah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa, Said Hassan, 60 tahun, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedaraan parah di kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.43 pagi lalu menghantar lapan anggota ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya menemui seorang lelaki yang terhimpit oleh jentera berkenaan, dipercayai dihempap ketika melakukan kerja-kerja mengangkat mesin.

“Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan jentera pengangkut kilang sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Menurutnya, operasi berakhir pada jam 7.55 pagi.

Foto Bomba