KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa tampil memberikan penjelasan segera berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor petang semalam.
Ahli Parlimen Putrajaya yang juga mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketiadaan kenyataan rasmi daripada pihak kementerian sehingga pagi Ahad menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat umum.
Menurut beliau, ketelusan dan penjelasan tuntas daripada pihak KPM amat diperlukan, lebih-lebih lagi insiden itu berlaku hanya lapan hari selepas satu lagi kes kematian membabitkan pelajar sekolah di Negeri Sembilan.
"Menurut laporan media, mangsa ditemui dalam keadaan lemah di sebuah sekolah di Batu Pahat petang semalam sebelum meninggal dunia.
"Sehingga jam 10.40 pagi ini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan yang dapat saya temui berhubung kejadian ini.
"Elok pihak Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan segera kepada masyarakat, apatah lagi kejadian ini berlaku hanya lapan hari selepas kes kematian seorang pelajar sekolah di Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan siasatan ke atas tragedi berkenaan, pihak polis telah menahan tiga pelajar lelaki bagi membantu siasatan kes kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat tersebut.
Difahamkan, salah seorang daripada pelajar lelaki yang ditahan telah dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemukan oleh keluarganya dalam keadaan lemah di dalam dewan sekolah berkenaan, sebelum meninggal dunia.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor sebelum ini memaklumkan siasatan lanjut digerakkan secara menyeluruh dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi liar sementara proses siasatan dilengkapkan.