JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Batu Pahat malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan, selain menyalurkan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah yang terkesan.
"Saya ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
"Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi.
"Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat buat setiap anak Johor untuk menimba ilmu, membina masa depan serta berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan dan kesejahteraan mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Muhammad Naqib, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
"Saya menyeru semua pihak, termasuk orang awam dan pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.
"Dalam tempoh ini, keutamaan kita adalah menghormati keluarga mangsa, memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti dan memastikan sebarang maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat serta bertanggungjawab.
"Saya merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi kehilangan ini," katanya.