Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dikatakan telah berjaya menamatkan acara larian sejauh enam kilometer itu sebelum rebah tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar itu menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.
“Sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolah, pelajar terbabit yang dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kemudian telah membawa pelajar itu ke khemah dan memberikan bantuan pertolongan cemas, namun pelajar itu tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Katanya, guru turut menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) namun pelajar itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Hasil siasatan polis dengan bapa mangsa mendapati anaknya itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit dan merupakan pelajar aktif bersukan.
“Semakan pihak kita juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, pemeriksaan awal polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
