Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan

Sumber: BERNAMA
Kualiti udara di kawasan Kuching, Samarahan dan Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari, dengan Kuching mencatatkan bacaan 139, Samarahan (140) dan Serian (162). - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menghadapi situasi jerebu dan menangani kegiatan pembakaran terbuka di negara ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan turut diaktifkan ketika kualiti udara merosot, terutama di Sarawak.

Menerusi PTJK, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Semua aktiviti di luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU melebihi 200.

Institusi berkenaan juga dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU dan membuat persediaan untuk ditutup sekiranya trend bacaan menghampiri paras 200.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai, apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

JAS bersama kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan bertindak berdasarkan langkah yang disenaraikan dalam PTJK.

Pemilik tanah turut dinasihatkan memantau kawasan yang mudah terbakar, termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang serta kawasan pertanian dan perindustrian.

Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka diceroboh sehingga menyebabkan kegiatan berkenaan.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh didenda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Orang ramai diminta melaporkan kejadian pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Must Watch Video

Advertisement