IPOH: Peluang pekerjaan kini menjadi keutamaan rakyat di Perak berbanding isu kos sara hidup yang lebih diberikan perhatian sebelum ini, berdasarkan hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) bersempena dengan Belanjawan 2027 Negeri Perak.
Ketua Eksekutif IDR Dr Zulqarnain Mohamad berkata perubahan itu menunjukkan peralihan persepsi rakyat terhadap keperluan semasa khususnya dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sosioekonomi di negeri itu.
Beliau berkata dalam kajian terdahulu, kos sara hidup menjadi antara kebimbangan utama rakyat, namun dapatan terbaharu menunjukkan peluang pekerjaan kini lebih diberi perhatian.
"Perubahan itu juga mencerminkan kepentingan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi memastikan rakyat mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam IDR bersama pengamal media Perak di sini, malam tadi.
Beliau berkata pelbagai inisiatif yang telah dilakukan kerajaan negeri antaranya pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat dilihat membantu menangani isu kos sara hidup serta memberikan kesan positif kepada rakyat pada peringkat akar umbi.
Zulqarnain berkata kajian itu turut mendapati 66.4 peratus responden menyatakan pendapatan bulanan mereka mencukupi, manakala 58.7 peratus berpendapat mereka mampu menyediakan simpanan kecemasan.
Kajian berkenaan memberikan gambaran positif mengenai keadaan kewangan rakyat walaupun kemampuan setiap isi rumah berbeza mengikut komitmen dan perbelanjaan masing-masing.
Dalam pada itu, Zulqarnain berkata kajian berkenaan turut menilai psychological capital bagi mengukur keyakinan rakyat terhadap masa depan dan keupayaan kerajaan negeri membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Beliau berkata tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri mencatat skor 3.96 daripada lima, menunjukkan penilaian yang positif terhadap prospek kesejahteraan sosioekonomi negeri.
“Keyakinan itu perlu disusuli usaha berterusan oleh semua pihak, termasuk kerajaan negeri bagi memperkukuh peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan memastikan kesejahteraan rakyat Perak terus dipertingkatkan,” katanya.
-- BERNAMA