KANGAR: Seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis melaksanakan tugas dan menghamburkan kata-kata kesat.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim turut memerintahkan Mohd Syukri Rejab, 29, dari Tambung Tulang, Arau menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam berumur 58 tahun melaksanakan tugasan rasminya di tepi Jalan Padang Telela-Pauh di Arau pada 11.15 pagi, 15 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semasa anggota JPJ itu sedang melakukan rondaan bersama dua lagi anggota, mereka telah menahan lori dipandu Mohd Syukri di tepi jalan berkenaan dan meminta lesen memandu serta kad pengenalan tertuduh.

Namun, dia tidak memberikan kerjasama serta menghamburkan kata-kata kesat terhadap tiga anggota JPJ itu sambil mengeluarkan telefon bimbit dan merakamkan kejadian berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala Mohd Syukri diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hasnor Arysha Hamdan.

-- BERNAMA