Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pembangunan bandar perlu seimbang kemajuan teknologi, warisan negara - Nga

Nga Kor Ming berkata, membina bandar masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah.  - Gambar fail
Nga Kor Ming berkata, membina bandar masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah. - Gambar fail

Advertisement

PUTRAJAYA: Pembangunan bandar masa hadapan perlu mengimbangi kemajuan teknologi dengan pemeliharaan warisan dan identiti negara bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang selesa, mampan serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kebijaksanaan reka bentuk tradisional boleh digabungkan dengan teknologi moden bagi menghasilkan kediaman yang lebih sesuai dengan iklim tempatan, termasuk menghadapi cuaca panas dan risiko banjir.

"Membina bandar masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah. Sebaliknya, kebijaksanaan reka bentuk tradisional boleh digabungkan dengan teknologi moden untuk menghasilkan kediaman yang lebih selesa dan berdaya tahan terhadap cuaca panas serta risiko banjir," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini, pada Jumaat.

Nga, yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata, rumah tradisional Melayu merupakan antara contoh reka bentuk yang boleh dijadikan inspirasi dalam pembangunan kediaman moden.

Beliau berkata, ciri seperti struktur bertiang yang mengambil kira keadaan paras air, bukaan bagi menggalakkan pengudaraan semula jadi serta ruang serambi yang mengeratkan hubungan kejiranan wajar diberikan perhatian dalam perancangan perumahan masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pembangunan lebih banyak rumah mampu milik berhampiran kemudahan pengangkutan awam dan pusat pekerjaan bagi memudahkan mobiliti harian rakyat, mengurangkan beban perjalanan serta meningkatkan kualiti hidup.

Beliau berkata, perancangan perumahan perlu mengambil kira akses kepada peluang pekerjaan, kemudahan asas, kawasan hijau dan perkhidmatan komuniti bagi memastikan rakyat bukan sahaja mampu memiliki kediaman, malah menikmati persekitaran kehidupan yang kondusif.

"Di bawah kerangka Malaysia MADANI rumah bukan sekadar komoditi, sebaliknya keperluan asas yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut memperkukuh komitmen terhadap pembangunan perumahan cekap tenaga dan responsif terhadap perubahan iklim menerusi IPOH Accord yang dimuktamadkan pada Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China (ACMROCH) Ke-4.

Sambutan Hari Habitat Sedunia tahun ini mengangkat tema nasional “Bandar Masa Hadapan yang Ingin Saya Diami”, mencerminkan aspirasi membangunkan bandar dengan mengambil kira perubahan iklim, warisan budaya, pengalaman pembangunan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Pada majlis itu, Nga turut menyampaikan Anugerah Skrol Kehormat Malaysia 2026 dan Anugerah Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesejahteraan bandar.

Hari Habitat Sedunia ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak setiap insan untuk mendapatkan tempat tinggal yang memadai.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement