Skip to main content

Malaysia

Pembiakan lalat: Pemegang lesen ladang ternakan ayam didenda RM50,000

Siasatan lanjut mendapati OKS mempunyai rekod kesalahan lampau apabila pernah dikenakan tindakan kompaun sebanyak dua kali bagi setiap ladang terbabit. - Gambar hiasan
Siasatan lanjut mendapati OKS mempunyai rekod kesalahan lampau apabila pernah dikenakan tindakan kompaun sebanyak dua kali bagi setiap ladang terbabit. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seorang pemilik ladang ayam didenda RM50,000 oleh Mahkamah Majistret kerana membiarkan pembiakan lalat di dua premis di Gunung Semanggol, Kerian.
  • Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati kadar infestasi lalat di kedua-dua ladang melebihi piawaian maksimum yang ditetapkan jabatan.
  • OKS sebelum ini pernah dikenakan kompaun sebanyak dua kali bagi setiap ladang atas kesalahan serupa, melibatkan jumlah keseluruhan RM30,000.

PARIT BUNTAR: Seorang pemegang lesen ladang ternakan ayam didenda RM50,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membiarkan pembiakan lalat di dua premis ternakannya di Gunung Semanggol, Kerian dekat sini, Julai lepas.

Majistret Salwa Asmary Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Datuk Siah Gim Eng, 67, dan memerintahkan satu waran dikeluarkan untuk melevi harta syarikat secara distress di bawah Seksyen 283(1)(iii) Kanun Tatacara Jenayah, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Siah, Orang Kena Saman (OKS) yang tidak diwakili peguam itu membayar denda tersebut.

Warga emas itu didakwa membenarkan pembiakan lalat di ladang ayam PWF Farms Sdn Bhd, Lot 5020, Gunung Semanggol, Kerian dekat sini pada 9.40 pagi, 16 Julai lepas.

Siah juga didakwa melakukan kesalahan sama di ladang ayam PWF Farms Sdn Bhd, Jalan Changkat Lobak, Beriah, Gunung Semanggol, Kerian dekat sini pada 12.16 tengah hari pada tarikh sama.

Pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 17(1) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 (Enakmen A51) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(2) enakmen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan Pegawai Diberi Kuasa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah melakukan pemeriksaan di kedua-dua ladang ayam pedaging, berkenaan.

Pemeriksaan mendapati ladang di Lot 5020 menjalankan ternakan sebanyak 88,000 ekor ayam pedaging di dalam 14 reban terbuka dengan catatan kadar infestasi lalat mencecah 27.6, melebihi paras piawaian maksimum 14 yang ditetapkan jabatan.

Sementara itu, premis kedua di Beriah yang menempatkan 190,000 ekor ayam pedaging di dalam 14 reban terbuka pula, mencatatkan kadar infestasi lalat sebanyak 23.2.

Sampel larva yang diambil di kedua-dua lokasi kejadian telah dihantar ke Makmal Parasitologi dan Hematologi, Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh, sebelum disahkan sebagai spesies Muscidae iaitu lalat rumah atau lalat kandang.

Siasatan lanjut mendapati OKS mempunyai rekod kesalahan lampau apabila pernah dikenakan tindakan kompaun sebanyak dua kali bagi setiap ladang terbabit pada 2025 atas kesalahan serupa, membabitkan jumlah keseluruhan RM30,000.

Terdahulu, Siah merayu hukuman denda minimum kerana dia perlu menjaga kebajikan pekerjanya, manakala Pegawai Pendakwa JPV Perak Roziman Awang Tahrin memohon hukuman setimpal mengambil kira rekod lampau OKS bagi memberi pengajaran, mencegah kesalahan sama serta memastikan kepentingan kesihatan awam dan kebersihan persekitaran penduduk setempat terjamin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement