Skip to main content

Malaysia

Pemburu haram negara jiran sasar Harimau Malaya

81722000367_TBHarimauMalaya.jpg
Spesies haiwan terancam seperti Harimau Malaya yang kini dipercayai hanya tinggal 200 ekor di habitat liar terus menjadi sasaran paling utama pemburu haram dari luar negara. - Gambar fail/ WWF
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sempadan darat di utara tanah air menjadi laluan utama pemburu haram dari luar negara, terutama dari Vietnam untuk menyusup masuk bagi memburu spesies hidupan liar terancam negara ini antaranya Harimau Malaya.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata sindiket ini menggunakan “laluan tikus” untuk melepasi sempadan negara sebelum menceroboh hutan-hutan simpan yang dipercayai menjadi habitat hidupan liar yang menjadi sasaran mereka.

"Apabila berjaya masuk, mereka sanggup menetap dan berkhemah di dalam hutan berkenaan dalam tempoh yang panjang, malah boleh melebihi enam bulan.

"Masa yang panjang ini diperlukan untuk mereka mencari kenalan sindiket di Malaysia, mengumpul hasil buruan, dan seterusnya membawa pulang spesies tersebut untuk dipasarkan di negara asal berikutan permintaan yang sangat tinggi di sana," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata spesies haiwan terancam seperti Harimau Malaya yang kini dipercayai hanya tinggal 200 ekor di habitat liar terus menjadi sasaran paling utama pemburu haram dari luar negara kerana nilainya yang amat tinggi di pasaran gelap dengan seekor harimau mampu mencecah harga hingga RM500,000.

Beliau mendedahkan selain Harimau Malaya, pemburu haram juga menyasarkan gajah, tenggiling, rusa, burung enggang, pelbagai spesies burung eksotik, reptilia serta beberapa spesies primat yang dilindungi susulan permintaan tinggi di pasaran gelap.

"Selain haiwan hidup, sindiket turut menyasarkan bahagian atau produk berasaskan hidupan liar seperti gading, sisik tenggiling, taring, kulit dan bahagian lain yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

“Setiap spesies mempunyai nilai yang berbeza mengikut permintaan pasaran domestik dan antarabangsa, oleh itu WCB/PSK sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan melalui risikan serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengesan sebarang ancaman terhadap spesies yang dilindungi," katanya.

Beliau berkata pemburu haram berkenaan akan membawa keluar hasil buruan mereka untuk dijual di negara lain kerana permintaan dan harga yang tinggi berbanding dijual di sini berikutan terdapat permintaan bagi makanan eksotik dan perubatan tradisional.

Mohd Zaki berkata berdasarkan risikan dan trend semasa permintaan terhadap produk hidupan liar juga kini tidak lagi terhad kepada penggunaan bagi perubatan tradisional, malah terdapat sebahagian produk hidupan liar diperdagangkan sebagai barangan koleksi, hiasan, aksesori, trofi, cenderamata eksklusif atau simbol status.

 “Perkembangan platform e-dagang dan media sosial turut memudahkan urus niaga dijalankan secara lebih tertutup serta merentas sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata bagi menangani isu pemburuan haram, pihaknya meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Sejak 2019 hingga Mei lepas, beliau berkata operasi berkenaan berjaya memusnahkan sejumlah 2,851 jerat dan menahan sebanyak 1,230 individu dengan nilai sitaan berjumlah RM416.3 juta.

"Kejayaan terbesar OBK ialah menumpaskan sindiket pemburuan hidupan liar terbesar melibatkan warga Vietnam pada 2023 yang dihukum denda RM128.9 juta serta penjara selama lapan tahun enam bulan kepada tiga pesalah berkenaan yang merupakan antara hukuman paling berat dikenakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716],” katanya.

Beliau berkata dalam memperkasakan usaha menyokong pelaksanaan rondaan dan penguatkuasaan secara menyeluruh, Perhilitan telah melantik secara kontrak 1,950 Ranger Komuniti (RK) yang terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia, Orang Asli dan orang awam melalui Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) pada tahun ini.

Abdul Kadir berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,075 RK terdiri daripada Orang Asli, sekali gus membuktikan mereka turut memainkan peranan penting dalam melindungi khazanah negara ini.

"Mereka (RK) ditempatkan di 203 pos kawalan termasuk pos kerjasama strategik dengan rakan NGO, sekali gus memperluas jaringan perlindungan di kawasan sensitif di seluruh Semenanjung.

"Tugas dan peranan utama RK ialah menjalankan rondaan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar oleh warga tempatan dan asing serta sindiket terancang di dalam kawasan perlindungan jabatan serta Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terlibat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Perhilitan sedang membangunkan aplikasi bagi mempercepat proses analisis data daripada perangkap kamera dalam usaha menjaga hidupan liar, terutama daripada spesies terancam.

Abdul Kadir berkata aplikasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya mengenal pasti spesies dengan lebih pantas, termasuk membezakan Harimau Malaya berdasarkan corak belangnya yang akan meningkatkan kecekapan pemantauan populasi dan menyokong usaha pemuliharaan spesies terancam secara lebih berkesan.

Menurut beliau, jabatan berkenaan memanfaatkan pelbagai jenis teknologi lain antaranya pemasangan kolar satelit pada individu hidupan liar terpilih bagi memantau pergerakan secara masa nyata yang membolehkan pelaksanaan Sistem Amaran Awal bagi memaklumkan pihak berkaitan dan komuniti setempat sekiranya hidupan liar menghampiri kawasan petempatan untuk mengurangkan konflik manusia–hidupan liar.

"Teknologi lain yang digunakan antaranya melibatkan pemasangan perangkap kamera bagi mencerap kehadiran spesies, memantau trend populasi hidupan liar serta merekod sebarang aktiviti pencerobohan di kawasan hutan, dron turut digunakan bagi pemantauan udara di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot kemalangan hidupan liar," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement