KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan seorang pemotong rumput menemukan sebutir bom tangan di kawasan sekitar susur keluar Plaza Tol Bukit Besi di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2), Dungun hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata bom itu ditemukan lelaki berkenaan pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Beliau berkata lelaki itu menemukan satu objek yang mencurigakan dan menghampirinya sebelum mendapati ia adalah sebutir bom tangan ketika sedang memotong rumput di lokasi berkenaan.

"Setelah menerima laporan daripada pemotong rumput itu, sepasukan anggota polis digegaskan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan dan menutup sementara laluan berhampiran.

"Bom itu telah dilupuskan oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada pukul 4 petang tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Maizura berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku yang meletakkan bom tangan di lokasi berkenaan.

-- BERNAMA