KANGAR: Pemuda UMNO bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas bayar balik pinjaman.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata peminjam perlu bertanggungjawab dalam pembayaran hutang kepada PTPTN demi generasi akan datang.

"Kita ada tanggungjawab kepada generasi akan datang. Kalau mereka (yang culas bayar balik pinjaman) boleh pergi bercuti ke luar negara, takkan tak boleh bayar hutang, ini prinsip asas apabila berhutang," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Program Santai Moreh bersama Pemuda UMNO Perlis di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud di Dewan Negara semalam, bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN gagal membayar balik pinjaman.

Mustapha Sakmud berkata kaedah itu antara langkah dipertimbangkan bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN.

-- BERNAMA