BUTTERWORTH: Penang Sentral menyediakan ruang menunggu di Aras 1, platform bas henti-henti yang dilengkapi kemudahan asas dan beroperasi 24 jam bagi penumpang menunggu perkhidmatan pengangkutan seterusnya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kemudahan itu bagaimanapun bukan disediakan sebagai tempat penginapan atau bermalam.
Beliau berkata Penang Sentral dikendalikan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan tidak melibatkan kerajaan negeri.
"Menurut maklum balas MRCB, selepas 1 pagi, akses orang awam dihadkan kepada Aras 1 sahaja. Pengunjung tidak dibenarkan menunggu atau berada di kawasan lain, termasuk kawasan perniagaan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang telah ditutup atas faktor keselamatan dan kawalan operasi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular dalam media sosial berhubung dakwaan seorang pengguna yang dihalau pengawal keselamatan ketika cuba menunggu di terminal berkenaan selepas tiba kira-kira 1 pagi.
Pengguna itu mendakwa tidak dibenarkan berada di terminal hingga pagi untuk menaiki feri ke George Town, walaupun waktu daftar masuk hotelnya hanya bermula pada 3 petang keesokan hari.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pandangan berbeza mengenai isu berkenaan, termasuk mencadangkan penyediaan ruang khas untuk penumpang yang tiba dengan bas ekspres pada lewat malam atau awal pagi.
Pelajar universiti, Hana Nurdira Muhammad Haikal, 20, berkata sebagai hab pengangkutan yang menghubungkan beberapa mod perjalanan, Penang Sentral perlu mengambil kira keperluan pengguna yang berbeza.
Beliau yang menyambung pengajian di Kelantan dan kerap pulang ke Pulau Pinang ketika cuti berkata dirinya bersama-sama rakan-rakan sering tiba di terminal itu pada awal pagi.
"Saya berpendapat MRCB boleh mempertimbangkan ruang menunggu khas untuk penumpang yang tiba lewat malam atau mempunyai jadual perjalanan awal pagi. Tidak semestinya menyediakan kemudahan penginapan, tetapi sekurang-kurangnya ruang dengan tempat duduk mencukupi dan tandas yang boleh diakses," katanya.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Shahril Reza Ibrahim, 35, turut berpendapat bahawa kemudahan ruang menunggu perlu disediakan untuk penumpang yang tiba dari jauh sebelum meneruskan perjalanan menaiki feri ke bahagian pulau.
Beliau yang bekerja sebagai pegawai bank berkata perkhidmatan bas ekspres menjadi pilihan kerana lebih mudah dan menjimatkan kos.
"Pada pandangan saya, MRCB mungkin mempunyai justifikasi dari segi keselamatan dan kawalan operasi, namun dari sudut pengalaman pengguna, masih ada beberapa kelemahan yang wajar diperhalusi.
"Sebagai pengguna bas ekspres, saya juga sering menggunakan Terminal Bas Selatan yang dilengkapi ruang menunggu," katanya.
Penang Sentral mempunyai kedudukan strategik sebagai hab pengangkutan bersepadu yang menggabungkan pengangkutan darat dan laut di bawah satu bumbung, termasuk perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas ekspres antara negeri dan bas awam Rapid Penang.
Hab itu juga bakal dihubungkan dengan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara pada masa hadapan.
Selain itu, bangunan berkenaan turut menempatkan UTC Seberang Perai di tingkat tiga dan empat, yang berkeluasan lebih 60,000 kaki persegi serta menempatkan sembilan jabatan kerajaan, termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
-- BERNAMA