KUALA LUMPUR: Beban tugasan guru-guru di sekolah perlu diringankan di samping menyediakan ganjaran yang sewajarnya kepada perkhidmatan mereka dalam mendidik generasi bangsa.


Ringkasan AI
  • Pelantikan Pembantu Guru: Mengurangkan beban tugas guru dengan melantik pembantu guru untuk membantu dalam tugas-tugas seperti pengisian markah ko-kurikulum dan kebersihan kelas. Penyelarasan Gred Jawatan: Menaikkan gred jawatan Guru Cemerlang di sekolah rendah agar setara dengan gred di sekolah menengah, untuk memberikan insentif yang lebih baik kepada guru-guru. Intervensi dan Pengambilan Guru Baharu: Melaksanakan langkah intervensi yang berkesan dan memastikan pengambilan guru baharu secara konsisten untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh guru yang bersara awal.


Justeru, menurut wakil pendidik yang ditemui, kerajaan wajar melaksanakan pelantikan pembantu guru dan menyelaraskan gred jawatan bagi guru-guru di sekolah rendah dan menengah bagi menangani isu guru bersara awal.

Pesara dan Tokoh Guru Kedah 2022, Zainol Abidin Mohamad berkata, beban tugasan guru-guru di sekolah perlu diringankan dengan melantik pembantu guru. 

“Sepatutnya hari ini, setiap guru perlu ada pembantu guru seperti di universiti yang ada unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Hal Ehwal Akademik. 

“Ketika ini, guru-guru perlu isi markah ko-kurikulum dan ditanggungjawabkan dengan kebersihan kelas. Bermakna, mereka perlu buat semua kerja. Saya fikir ini sebab-sebab guru bersara lebih awal,” katanya.

Guru Pencen Awal: Kaji pelaksanaan SISPAA, ketetapan KPI kepada guru elak tekanan tidak wajar – Pesara Guru

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Dalam temu bual yang sama, Finalis 10 Teratas Malaysia Teacher Prize 2023, Mohamad Safuan Rozak berpandangan, gred Guru Cemerlang di sekolah rendah wajar dinaikkan bagi menangani isu guru pencen awal ketika ini. 

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan insentif jawatan Guru Cemerlang kepada guru-guru yang berminat. 

“Tetapi di sekolah rendah, gred jawatan Guru Cemerlang hanya sampai gred DG48. Tidak sama dengan guru di sekolah menengah yang boleh sampai ke gred JUSA C,” ujarnya.

Guru Pencen Awal: Pendidik minta lantik pembantu guru, naikkan Gred Guru Cemerlang sekolah rendah

Pada Isnin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyentuh mengenai trend guru yang bersara awal sebelum mencapai usia pencen dengan menyatakan bahawa Keputusan guru bersara awal adalah pilihan peribadi yang perlu dihormati.

Sehubungan itu, katanya, langkah intervensi yang berkesan penting untuk mengimbangi kesan daripada persaraan awal para guru.

Tambahnya, Perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan amat penting bagi memastikan kekosongan ditinggalkan oleh guru yang bersara awal dapat diisi dengan pengambilan guru baharu secara konsisten.