MELAKA: Pengalaman Malaysia dalam mengurus kepelbagaian agama, budaya dan etnik boleh menawarkan pengajaran yang bernilai kepada masyarakat antarabangsa dalam memperkasa kefahaman antara agama, keamanan dan keharmonian sosial, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata pendekatan Malaysia berteraskan pengiktirafan bahawa kepelbagaian tidak seharusnya dilihat sebagai punca perpecahan, sebaliknya menjadi kekuatan yang boleh dimanfaatkan menerusi sikap saling menghormati, keterbukaan dan kerjasama.
Bercakap pada Persidangan Keamanan Antara Agama Antarabangsa (IIPC) 2026 di sini hari ini, Aaron berkata dialog antara agama memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman bersama dan membina masyarakat yang lebih bersatu padu.
Persidangan bertemakan Melaka and Malaysia as a Meeting Point of Faith, Culture, Diversity and Harmony Towards Cohesive Nation Building itu menyediakan platform penting kepada pemimpin agama, pembuat dasar dan wakil masyarakat sivil daripada pelbagai bahagian dunia untuk bertukar-tukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam usaha mencapai keamanan dan keharmonian sosial.
Persidangan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengasas Pusat Dialog Antara Agama Antarabangsa Doha Profesor Dr Hamed Abdulaziz Al-Marwani, Wakil Khas Menteri Luar Negeri bagi Pembangunan Keamanan, Pendamaian dan Memerangi Islamofobia, Pengarah Pengasas Bait Al Amanah Datuk Dr Abdul Razak Ahmad dan Pengarah Liga Dunia Islam Malaysia Dr Muhammad Gharawi.
Aaron berkata dialog antara agama tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha mengaburkan perbezaan teologi atau mewujudkan keseragaman agama, sebaliknya sebagai kaedah untuk menggalakkan kefahaman yang tepat dalam kalangan masyarakat yang berbeza agama.
“Dialog antara agama bukan mengenai usaha mengubah kepercayaan sesiapa. Ia bukan mengenai berkompromi terhadap prinsip agama, sebaliknya dialog antara agama adalah untuk mewujudkan kefahaman bersama sambil menghormati perbezaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata matlamat dialog antara agama bukan untuk mencari persetujuan dari segi teologi atau menghasilkan keputusan muktamad yang mengikat, sebaliknya menyediakan platform bagi menyebarkan maklumat yang tepat, berkongsi pengetahuan dan bertukar-tukar amalan terbaik.
“Dengan menyebarkan maklumat yang tepat, dialog antara agama membantu menghapuskan salah faham, mengurangkan prasangka dan memperkukuh sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat yang berbeza agama,” katanya.
Aaron berkata penglibatan sedemikian juga penting dalam memperkasa golongan muda untuk menjadi penghubung antara masyarakat, menggalakkan kerjasama antara pemimpin agama dengan kerajaan serta memperkukuh tanggungjawab bersama mereka dalam memajukan pembinaan negara.
Beliau berkata kepentingan dialog antara agama menjadi semakin jelas susulan penyertaannya dalam beberapa program terbaharu, termasuk Simposium Harmoni, Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama dan Perbincangan Meja Bulat mengenai Perkongsian Pelbagai Agama dalam Amalan bagi Kesejahteraan Manusia.
Menurut Aaron, meskipun terdapat perbezaan dari segi tema dan peserta, program-program berkenaan mempunyai matlamat bersama untuk menghimpunkan masyarakat menerusi dialog dan memperdalam kefahaman bersama melalui perkongsian maklumat antara agama.
“Inilah sebabnya dialog antara agama kekal relevan hari ini seperti sebelumnya,” katanya.
-- BERNAMA