![Pesta belon udara panas](http://img.astroawani.com/2015-02/51424409993_freesize.jpg)
'Pesta Belon Udara Panas' Pesta itu akan menampilkan 15 belon udara panas dengan pelbagai bentuk istimewa seperti 'Trump', 'Darth Vader' dan 'Humpty Dumpty'. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN: Buat julung kalinya Pesta Belon Udara Panas diadakan di Pulau Pinang bermula 21 hingga 22 Februari ini.
Pesta anjuran Penang Global Tourism (PGT) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan diadakan bermula jam 6 pagi hingga 9 malam.
Pengurus Besar Penang Global Tourism Ooi Chok Yan berkata Pesta Belon Udara tersebut diadakan sempena tahun melawat Pulau Pinang dan ia dijangka menjadi tarikan terbaru kepada pelancong ke negeri itu.
Ooi berkata acara julung-julung kali di Pulau Pinang itu akan menampilkan 15 belon udara panas dengan pelbagai bentuk istimewa termasuk 'Trump', 'Darth Vader' dan 'Humpty Dumpty'.
Sementara itu, sempena pra pelancaran belon udara panas hari ini, beberapa pengunjung diberikan kesempatan menaiki belon udara tersebut.
Bagi pengunjung yang pertama kali menaiki belon udara panas perasaaan teruja jelas kelihatan di wajah masing-masing dan ia pastinya menjadi pengalaman manis buat mereka.
“Sangat-sangat teruja naik atas ini. Ini pengalaman pertama naik belon udara panas. Mula-mula rasa gayat tapi lama-lama sedar dah naik atas dah,” kata Amirul Hakim.
Ini juga merupakan pengalaman pertama Ilzah Ilya.
“Mula-mula rasa takut dan rasa gayat tetapi billa sudah naik rasa seronok,” katanya.
Orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman menaiki belon udara panas boleh berkunjung ke pesta belon udara panas di Padang Polo mulai esok .
Pengunjung turut berpeluang menaiki tiga belon udara panas yang diikat dengan bayaran RM25, terhad kepada 180 orang dengan pembelian maksimum empat tiket bagi setiap individu.
Pelbagai program menarik turut diatur seawal 6 pagi hingga 9 malam termasuk larian ria, persembahan paramotor, memanah dan pertandingan fotografi yang menawarkan hadiah tiket penerbangan ke Chiang Mai dan Bangkok.