Skip to main content

Malaysia

Penganggur dituduh sebabkan kecederaan semasa merompak

[TB]_Penganggur merompak_ASTRO AWANI
Lee Koon Yew dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita, pada 8 Ogos lalu. - Foto Astro AWANI
Advertisement

IPOH: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita, minggu lalu.

Tertuduh, Lee Koon Yew, 49 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak yang berusia 21 dan 23 tahun itu didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita berumur 26 tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Laluan 10, Taman Batu Gajah Perdana, dalam daerah Batu Gajah, kira-kira jam 11.40 pagi, 8 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa memohon jaminan RM20,000 kerana ketika kejadian mangsa sedang mendukung bayinya berumur dua bulan dan kecederaan yang dialami menyebabkan dia terpaksa dirawat di hospital.

Bagaimanapun, peguam Dhirren Amaresha yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima kurang RM10,000 kerana anak guamnya seorang bapa tunggal yang mempunyai dua anak serta menghidap penyakit darah tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 23 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 8 Ogos lalu tular video berdurasi 53 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki cuba melarikan diri menaiki sebuah motosikal dipercayai ketika cuba merompak sebuah rumah sambil dirakam oleh mangsa.

Sehari kemudian, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad memaklumkan polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan, di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana.

 

 

Must Watch Video

Advertisement