PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak penganjur perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini, agar mematuhi setiap peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.


Ringkasan AI
  • Menteri Dalam Negeri mengingatkan penganjur perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini agar mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012, yang meliputi tanggungjawab peserta, penganjur, dan pihak polis.
  • Tugas polis adalah untuk memudah cara perhimpunan selagi ia mematuhi peraturan yang ditetapkan, dan perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' dijadual berlangsung pada 25 Jan.
  • Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal untuk memastikan hak rakyat berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa mengganggu ketenteraman awam.


Beliau berkata aspek pematuhan tersebut meliputi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan pihak polis.

"Saya gesa pihak penganjur cuba teliti balik (Akta Perhimpunan Aman) dan apakah perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan polis," katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata tugas polis adalah untuk memudah cara sebarang perhimpunan yang diadakan, selagi ia mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa satu perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' dijadual berlangsung pada 25 Jan.

Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa mengganggu ketenteraman awam.

-- BERNAMA