BANGI: Pelaksanaan sistem penggiliran kerja bagi penjawat awam yang telah berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan telah dilaksanakan bermula Januari lepas secara berfasa, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata pelaksanaan itu telah melibatkan sebahagian besar penjawat awam dalam kategori berkenaan.

"Banyak ribu (petugas kaunter) telah kita tukar bermula bulan lepas.

"Kita akan tengok kepada kesesuaian masa sebab kita tak nak ada gangguan dalam perkhidmatan, jadi kita akan buat secara berfasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis KSN Unplugged bersama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (Ansara) 2025 di sini hari ini.

Pada 25 Jan lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan itu selaras dengan arahan Shamsul Azri mengenai dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang bertugas di kaunter lebih lima tahun bagi menambah pengetahuan dan pengalaman, serta keselamatan dan perluasan jaringan rakan kerja.

Mengenai sasaran sektor perkhidmatan awam, Shamsul Azri berkata Malaysia akan berusaha mendapatkan kedudukan tangga 20 teratas dalam Indeks Pentadbiran Awam Blavatnik, Universiti Oxford pada masa akan datang.

"Singapura berada di kedudukan nombor satu. Kita (Malaysia) cuba untuk dapat sekurang-kurangnya satu kedudukan dengan Korea Selatan dalam kelompok 20 terbaik. Dan saya yakin Malaysia boleh ke arah itu," katanya.

Pada Disember lepas, portal antarabangsa melaporkan Singapura menduduki tangga teratas dalam bidang perkhidmatan sempadan, pentadbiran cukai dan strategi serta amalan inovasi menerusi Indeks Pentadbiran Awam Blavatnik yang dijalankan oleh Universiti Oxford.

Kajian yang menyenaraikan kedudukan pentadbiran awam di 120 negara itu turut menunjukkan negara Asia dengan kedudukan tertinggi ialah Korea Selatan di tangga ke-15.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas 'ANSARA' yang boleh dibida melalui sistem JPJeBid bermula esok hingga 7 Feb ini.

"Nombor pendaftaran kenderaan ini khas untuk bekas pelajar MRSM dan ahli Ansara. Kita menawarkan nombor ANSARA 1 hingga ANSARA 5555," katanya.

-- BERNAMA