KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) kini memperluas integrasi teknologi canggih termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT) dalam ekosistem perancangan, pengurusan serta penyelenggaraan rangkaian jalan raya di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah pendigitalan itu merangkumi semua peringkat rangkaian jaringan jalan termasuk Jalan Persekutuan, jalan negeri mahupun di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jelas beliau, peralihan kepada teknologi pintar itu penting bagi memastikan infrastruktur negara bukan sahaja berdaya tahan dan mampan, malah mampu memenuhi keperluan masa hadapan selaras dengan kepesatan teknologi global.
"Kita tidak boleh tidak bersama dalam perkara ini (era digital). Kita sudah pun mengaplikasikan AI dalam mengurus, merancang dan menyelenggarakan jalan-jalan kita, sama ada jalan Persekutuan, peringkat negeri mahupun jalan PBT.
"Saya sendiri baru-baru ini telah melawat beberapa pusat pemantauan digital yang memanfaatkan teknologi ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia ke-13 (MRC 2026) bersama Kongres Serantau Asia-Pasifik Global International Road Federation (IRF) ke-6 di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Alexander turut menegaskan bahawa pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa hadapan juga bakal digerakkan sepenuhnya menggunakan teknologi AI bagi memastikan kelancaran aliran trafik tanpa gangguan.
Menurutnya, penganjuran persidangan dwitahunan bertemakan βTransforming the Nation Through Future-Ready Roadsβ itu menjadi platform terbaik mempertemukan pemain industri tempatan dan global untuk berkongsi dasar serta kepakaran teknikal terkini.
Persidangan kali ini menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dengan pembentangan 121 kertas kerja teknikal merangkumi 10 subbidang, selain memuatkan lebih 110 ruang pameran penyelesaian kejuruteraan jalan raya.