Ringkasan AI
- Malaysia dan Singapura bersama-sama menetapkan pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura pada Februari 2027, bukan keputusan sebelah pihak.
- Tempoh tambahan diperlukan untuk penilaian keselamatan bebas dan kelulusan teknikal daripada APAD Malaysia serta LTA Singapura.
- Kerja fizikal stesen dan bangunan CIQ telah siap, dengan ujian sistem dijangka selesai menjelang 31 Disember sebelum operasi bermula Februari 2027.
JOHOR BAHRU: Keputusan menetapkan pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Februari 2027 dibuat secara bersama oleh Malaysia dan Singapura, bukannya keputusan sebelah pihak.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu bukan ditangguhkan, sebaliknya tempoh tambahan diperlukan bagi memberi ruang kepada penilaian akhir oleh perunding keselamatan bebas serta mendapatkan kelulusan teknikal pihak berkuasa kedua-dua negara.
Beliau berkata kelulusan itu melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura.
“Setelah mengambil kira pertimbangan itu, kedua-dua pihak melalui operator RTS Operations Pte Ltd (RTSO) memaklumkan kepada pihak berkuasa masing-masing.
“Saya juga telah berhubung dengan Menteri Pengangkutan Singapura dan kami bersetuju bahawa keputusan terbaik adalah untuk memulakan operasi pada Februari supaya semua proses dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Peluasan Perkhidmatan BAS.MY di Johor Bahru Sentral di sini hari ini.
Beliau berkata operasi RTS Link sebenarnya berpotensi dimulakan seawal Januari, namun Februari dipilih bagi menyediakan tempoh penampan untuk memastikan keseluruhan proses penilaian keselamatan dan kelulusan teknikal berjalan lancar.
Beliau berkata kerja fizikal stesen dan bangunan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ) telah siap manakala Oktober hingga Disember merupakan fasa kritikal bagi pelaksanaan testing and commissioning sebelum sistem diserahkan menjelang 31 Dis.
“Kerajaan tidak mahu mengambil risiko dengan mempercepat proses itu memandangkan RTS Link ialah projek rentas sempadan yang melibatkan aspek keselamatan dengan jangkaan digunakan ribuan penumpang setiap hari,” katanya.
Loke berkata tarikh tepat pembukaan RTS Link hanya akan diumumkan selepas semua kelulusan daripada APAD dan LTA diperoleh, namun kerajaan yakin perkhidmatan itu dapat dimulakan pada Februari 2027.
Sebelum ini, RTSO memaklumkan semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Dis tahun ini, dengan perkhidmatan penumpang dijangka bermula pada Februari 2027 berbanding jangkaan awal Januari.
-- BERNAMA