Pengarah berkenaan Mohd Nasir Yusof berkata mereka terdiri daripada kumpulan banduan yang bakal menjalani hukuman Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) dari Penjara Marang dan Pusat Koreksional Dungun.
Beliau berkata untuk tahun ini, pihaknya merancang untuk menempatkan lebih ramai banduan di sektor perhotelan yang semakin rancak berkembang dan menjadi antara nadi ekonomi penting di Terengganu.
"Tahun lepas, seramai 410 prospek (banduan) diberi peluang bekerja dengan 72 majikan dalam pelbagai bidang termasuk sektor tertinggi iaitu perkhidmatan yang merangkumi 60 peratus.
"Selain itu, ada yang bekerja di sektor pelancongan, pulau-pulau dan perladangan yang memerlukan tenaga kerja yang ramai," katanya selepas sesi libat urus Pejabat Pengarah Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja Terengganu pada Isnin.
Turut hadir Pengarah PERKESO Terengganu Suhara Mustaffa.
Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata pihaknya juga berbangga dan berpuas hati kerana kadar pelanggaran syarat pekerjaan oleh banduan yang direkodkan tahun lepas amat rendah iaitu hanya empat kes.
Beliau berkata ia hasil pelaksanaan pelbagai program seperti pembangunan insan, intervensi dan pemantauan ketat bagi memastikan ODB dan OBB mematuhi peraturan serta memanfaatkan peluang yang diberikan.
"Alhamdulillah, Terengganu merekodkan kadar pelanggaran syarat pekerjaan yang kedua terendah di Malaysia iaitu empat kes daripada 420 pekerjaan.
"Kesalahan yang dilakukan juga hanya melibatkan aspek sikap seperti datang lewat dan malas bekerja," katanya.
-- BERNAMA
