SHAH ALAM: Penjenamaan semula Pusat Akuatik Darul Ehsan yang kini dikenali sebagai Akuatik Selangor melambangkan iltizam Kerajaan Negeri Selangor untuk terus melabur dalam aset awam yang memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bukan sekadar memperkenalkan nama dan wajah baharu sebuah fasiliti sukan, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan awam terus relevan, berkualiti dan mampu dimanfaatkan generasi akan datang.
“Kerajaan negeri percaya pelaburan dalam kemudahan awam berkualiti bukan suatu perbelanjaan semata-mata tetapi pelaburan strategik terhadap modal insan dan rakyat,” katanya pada Majlis Penjenamaan Semula Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini hari ini.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan majlis itu.
Amirudin berkata proses naik taraf secara menyeluruh menjadikan pusat akuatik itu kini sebagai fasiliti moden yang memenuhi keperluan latihan atlet, penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa selain menjadi ruang rekreasi yang selamat serta kondusif kepada masyarakat.
Kerja penaiktarafan itu merangkumi pembaharuan kemudahan kolam renang, sistem mekanikal dan pam, ciri keselamatan, landskap serta pelbagai fasiliti sokongan bagi memastikan operasi pusat tersebut lebih cekap, mampan dan memenuhi piawaian semasa.
Pelaksanaan naik taraf fasiliti sukan itu juga amat bertepatan dengan persiapan Selangor sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 yang akan bermula pada 15 Ogos.
“Pertandingan polo air yang akan membuka tirai acara akuatik pada 12 Ogos menjadi simbol Selangor bersedia menyambut atlet serta kontinjen dari seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata proses naik taraf Akuatik Selangor yang bermula Oktober 2025, siap pada Jun lepas dengan kos RM42 juta.
Beliau berkata penaiktarafan itu bukan sahaja melibatkan perubahan pada fasad dan ciri fizikal pusat tersebut, malah merangkumi penggunaan teknologi baharu termasuk kamera dalam kolam, sistem sensor serta sistem pengiraan masa yang lebih berkesan.
“Kapasiti boleh memuatkan 4,000 orang dan teknologi yang digunakan ketika ini adalah yang pertama dan jauh lebih canggih berbanding pusat akuatik di Bukit Jalil, sekali gus mengembalikan Akuatik Selangor sebagai antara hab utama sukan renang dan akuatik di negeri ini,” katanya.
Mohd Najwan berkata Akuatik Selangor akan dibuka kepada orang awam selepas selesai penganjuran Para SUKMA pada Oktober ini dengan kadar bayaran masuk dan sewaan masih dalam proses dimuktamadkan bersama-sama Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM).
“Kita akan pastikan kadar yang dikenakan tidak membebankan masyarakat kerana ini kemudahan awam. Selain kemudahan sukan, kita juga akan melengkapkan pusat ini dengan perkhidmatan makanan dan minuman, kesihatan, gimnasium, pusat latihan renang dan pusat skuba,” katanya.
Mengenai peruntukan penganjuran SUKMA 2026, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri Selangor telah menyelesaikan keperluan itu menerusi peruntukan sedia ada yang berjumlah kurang daripada RM50 juta.
Beliau berkata walaupun dalam kerangka peruntukan terhad, kerajaan negeri tetap komited memastikan persiapan penganjuran berjalan lancar dan mampu meninggalkan pengalaman serta memori indah kepada atlet yang menyertai temasya tersebut.
-- BERNAMA