KULAI: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 24.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 7.15 apabila seorang lelaki berusia 30 tahun itu terlanggar bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, memasuki lorong kecemasan akibat tayar hadapan sebelah kanannya pecah.

"Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

"Akibatnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha ketika itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Bagaimanapun pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, IPD Kulai, Mohamad Firdaus Mustaffa di talian 011-26081008 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian