BAYAN LEPAS: Seorang lelaki maut manakala rakan wanitanya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid Penang di hadapan Sunshine Square 1, Jalan Mayang Pasir, Bandar Bayan Baru di sini, malam Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa, Goy Wee Sherng, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bawah bahagian hadapan bas berkenaan.
Sementara itu katanya, rakan wanitanya berusia 23 tahun yang turut tersepit berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 malam. Susulan daripada itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi lima minit kemudian dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Kemalangan melibatkan sebuah bas pengangkutan awam dengan sebuah motosikal jenis Modenas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, ketika pasukan bomba tiba, terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita tersepit di hadapan bas manakala seorang lelaki tidak sedarkan diri di bawah bahagian hadapan bas.
"Komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat.
"Mangsa wanita berjaya dikeluarkan pada jam 11.55 malam sebelum diberikan rawatan awal oleh Ambulans Komuniti Sungai Ara dan dibawa ke HPP," ujarnya.
John berkata, lelaki berkenaan pula berjaya dikeluarkan pada jam 12.30 tengah malam namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi menyelamat dikawal pada jam 12.26 tengah malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah malam.
"Sementara itu, pemandu bas berkenaan dilaporkan selamat," katanya.
Sementara itu, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Selain itu, kata Rapid Bus, pihaknya juga akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan penumpang, kakitangan serta semua pengguna jalan raya.
"Ketika kejadian tersebut, bas Rapid Penang laluan 401E dari Terminal Bas Weld Quay menuju Balik Pulau sedang dalam perjalanan dari Jalan Mahsuri menghala ke Jalan Mayang Pasir.
"Ketika kejadian, bas berkenaan membawa lapan penumpang. Selain mangsa, pemandu bas turut mengalami kecederaan ringan pada jari dan muka akibat terkena serpihan kaca," katanya. - Sinar Harian