Skip to main content

Malaysia

Penuntut universiti rugi RM32,115 diperdaya sindiket menyamar pegawai polis

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Advertisement

KUANTAN: Seorang penuntut universiti mengalami kerugian RM32,115 selepas diperdaya sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong DSP Azmi Mahmod berkata mangsa lelaki berusia 18 tahun itu dikatakan menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM32,000 kepada seorang wanita di kawasan berhampiran sebuah pasar raya di Karak, Bentong.

Beliau berkata pada 7 Okt lepas, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

“Suspek mengugut mangsa akan ditangkap sekiranya tidak mematuhi arahan diberikan, menyebabkan mangsa ketakutan sebelum diperdaya mengambil wang tunai dan barang kemas milik ibu bapanya konon untuk menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata mangsa dipercayai menyerahkannya kepada seorang wanita yang memakai pelitup muka, selain diarahkan merahsiakan perkara berkenaan daripada pengetahuan ahli keluarga dan pihak lain.

Azmi berkata pihaknya telah melakukan operasi dan menahan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun kira-kira 6.20 petang, Sabtu lepas berhampiran pasar raya berkenaan.

“Siasatan mendapati wanita itu dipercayai ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan dengan mendakwa dirinya dilantik sebagai anggota ‘Unit Tindak Khas Polis’. Suspek dipercayai diarahkan mengambil wang tunai dan barang kemas daripada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ketiga yang turut diatur oleh sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar suspek serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Bera, seorang pesara jurutera mengalami kerugian RM660,000 selepas diperdaya pelaburan saham tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Bera Zulkiflee Nazir dalam kenyataan berkata lelaki berusia 56 tahun itu telah berurusan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Feb lepas yang menawarkan skim pelaburan saham dengan pulangan sebanyak 10 peratus. 

“Mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut telah membuat pelaburan berjumlah RM660,000 dan membuat tujuh transaksi ke tiga akaun bank atas nama syarikat yang berbeza.

"Mangsa tidak menerima sebarang pulangan wang sepertimana yang ditawarkan dan telah menyedari dirinya telah ditipu apabila terus diminta untuk memasukkan wang,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

  • -- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement