KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti swasta warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas teman wanita dan adik lelaki wanita itu, bulan lepas.
Chen Jun, 20, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap teman wanitanya Leong Kai Ting, 21, warga tempatan dan adiknya Leong Shun Jie, 18, dengan menikam mereka menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong di sini pada 5 pagi 29 Sept dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun jika mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Peguam Ling Yee Siew yang mewakili Chen Jun memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan kewangan dan tidak berisiko melarikan diri.
“Berdasarkan laporan perubatan hospital swasta bertarikh 14 Sept, anak guam saya mengalami kemurungan. Oleh itu, saya memohon jaminan yang rendah bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan pada kaki akibat perbuatan sendiri ketika mengalami kemurungan,” katanya.
Hakim Suhaila Haron membenarkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan kes.
Chen Jun hadir ke mahkamah hari ini dengan berkerusi roda.
-- BERNAMA