IPOH: Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyasarkan kutipan hasil tanah berjumlah RM991 juta pada tahun ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai selepas RM913.9 juta hasil tanah berjaya dikutip pada tahun lepas.

"Komitmen kerajaan negeri dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan sistem digital yang membolehkan urusan tanah dilaksanakan secara dalam talian, memudahkan rakyat dan menjimatkan masa seterusnya membuktikan keberkesanannya dalam mengoptimumkan pentadbiran tanah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari e-Tanah peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah PTG Perak Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Pada program itu, Saarani turut melancarkan tiga inovasi baharu iaitu Modul di Lapangan, Sistem eTAPS dan Aplikasi e-Tanah.

Ketiga-tiga inovasi itu bukan sahaja mempercepatkan proses pengurusan tanah tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan efisien untuk rakyat dalam merevolusikan pengurusan tanah.

-- BERNAMA