MELAKA: Aspek perlindungan fizikal dan mental warga emas bakal menjadi antara fokus utama Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas, yang akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata RUU berkenaan, dirangka bagi memastikan golongan warga emas sentiasa mendapat perlindungan sewajarnya dalam pelbagai aspek kehidupan, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Kerajaan sebelum ini telah mempunyai dasar serta kerangka berkaitan warga emas, manakala RUU itu akan menjadi langkah susulan dalam memperkukuh perlindungan terhadap golongan berkenaan.
“RUU ini khusus untuk memberi tumpuan kepada perlindungan warga emas, supaya mereka sentiasa dilindungi dari segi apa juga aspek,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambuan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Nancy berkata penggubalan tersebut adalah antara komitmen untuk memastikan sistem sokongan, pelindungan dan penjagaan warga emas diperkukuh, agar relevan dengan keperluan semasa dan perubahan demografi negara pada masa akan datang.
Dalam pada itu beliau berkata warga emas tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya perlu dihargai dan menjadi contoh kepada generasi muda, selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya kekeluargaan.
“Apabila kita melihat warga emas ini, merekalah yang sebenarnya telah memberi panduan, memberi contoh kepada kita. Tetapi kalau contoh itu ada, harus menjadi contoh yang baik yang akan diikuti oleh orang muda,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu penceramah bebas, Nancy berkata pihaknya sedia memberi kerjasama dengan pihak berkaitan, untuk melaksanakan saringan terhadap individu yang dilantik sebagai penceramah bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan dan kaliber yang sesuai.
Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian, memandangkan penceramah bebas berada di bawah agensi atau kementerian lain dan kementeriannya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai mereka.
“Kalau kami nak mengambil alih tanggungjawab (membuat saringan) itu agak tidak sesuai. Namun kita boleh bekerjasama dengan memberi peringatan kepada siapa-siapa yang nak mengadakan program ceramah ini, pastikan penceramah itu memang orang yang ada kaliber,” katanya.
-- BERNAMA