Skip to main content

Malaysia

Permohonan penggajian pekerja asing dilaksana sepenuhnya dalam talian bermula hari ini

Sumber: YouTube Izhan Zubir Vlogs
KESUMA memaklumkan pendigitalan proses terbabit tidak bermaksud syarat penggajian pekerja asing dilonggarkan. - Foto YouTube/Izgan Zubir
Advertisement

PUTRAJAYA: Urusan permohonan penggajian pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), sekali gus menggantikan kaedah permohonan secara manual atau hadir sendiri mulai hari ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, pendekatan itu bertujuan mengurangkan keperluan majikan untuk hadir berulang kali ke pejabat kerajaan, mengurangkan tempoh menunggu serta menjadikan keseluruhan proses lebih tersusun, mematuhi tatakelola dan selesa.

Bagaimanapua, KESUMA memaklumkan pendigitalan proses terbabit tidak bermaksud syarat penggajian pekerja asing dilonggarkan. 

"Semua permohonan masih tertakluk kepada penelitian, undang-undang, syarat kelayakan, dasar penggajian pekerja asing serta semakan oleh Agensi Kawal Selia (AKS) yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan proses permohonan bermula daripada majikan mendapatkan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 sehingga mendapat Surat Kelulusan Bersyarat (SKB), yang boleh diperoleh dalam tempoh 14 hari tertakluk kepada permohonan lengkap serta pematuhan syarat dan kriteria ditetapkan. 

Majikan boleh mengakses FWCMS melalui pautan www.fwcms.com.my.

Sementara itu, KESUMA memaklumkan pendekatan memudah cara permohonan majikan menerusi pelaksanaan pengagihan kuota secara berfasa diambil bagi melaksanakan pembukaan kuota penggajian 15,000 pekerja asing bagi industri restoran, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lepas. 

"Dalam hal ini, 5,000 kuota pekerja asing melibatkan 1,033 majikan yang telah melalui temu duga  mengikut kes sedang diproses untuk kelulusan," menurut kenyatan itu.

KESUMA menyarankan majikan yang telah melalui temu duga atau hendak mengemukakan permohonan baharu untuk melengkapkan permohonan melalui FWCMS.

Kementerian itu turut memaklumkan cadangan mewujudkan Pusat Transit Pekerja Asing bagi menangani kesesakan kemasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sedang diperhalusi dan akan dimulakan melalui pelaksanaan projek rintis kelak. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement