MINGGU Perpaduan Malaysia bertema "Perpaduan Dalam Kepelbagaian" diumumkan selama satu minggu bermula 20 hingga 28 Mei 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempelopori Kerajaan Perpaduan mengharapkan semarak semangat rakyat di negara ini melalui penyebaran pengetahuan, kefahaman dan penghayatan berkaitan kepelbagaian budaya serta segmen kenegaraan dalam menerapkan semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia.
Tema yang dirai atau penghayatan dan lonjakan amalan yang dinilai?
Menjadi kelaziman dan budaya di Malaysia, sebarang sambutan perayaan, program atau majlis tertentu mempunyai temanya yang tersendiri.
Dimeriahkan pula dengan persembahan yang perlu menepati tema, pakaian bertema malah seringkali juga ditawarkan hadiah lumayan bagi kategori menepati tema.
Namun cukupkah sekadar itu untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat?
Program berakhir, namun rutin harian kehidupan masih gagal menghayati dan mempraktis perpaduan secara harmoni.
Bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke 65 tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menegaskan bahawa kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Baginda Al-Sultan Abdullah bertitah, tiga perkara itulah adalah kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa juga cabaran yang akan datang, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama"
Usaha berterusan mewujudkan perpaduan di Malaysia yang dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi yang berkesinambungan sangat wajar disahut dengan penuh amanah oleh setiap peringkat masyarakat.
Sukar dinafikan bahawa secara kasarnya iklim perpaduan di Malaysia masih agak ‘panas’. Melalui pelbagai laporan media dari pelbagai perspektif, masih banyak aspek kesepaduan nasional yang perlu diambil berat.
Ia bukan sekadar berkaitan dengan perpaduan antara bangsa atau kaum dan agama, malah perpaduan dalaman bangsa dan agama pun dilihat masih longgar dan mudah ‘disemarakkan’ dengan pelbagai propaganda.
Apatah lagi dalam musim menjelangnya kempen pilihan raya negeri ketika ini. Ketika satu pihak mempromosikan perdamaian, keharmonian dan perpaduan; di satu pihak lagi memprovokasi kesepaduan nasional yang sedang disuburkan.
Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2.0 yang dijalankan tahun lalu yang diumumkan awal Mei ini dilapor menunjukkan hubungan dan perpaduan antara kaum di negara ini bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 0.62 peratus pada 2022 berbanding 0.57 peratus pada tahun 2020.
IPNas 2.0 telah dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Namun, 10 cabaran perpaduan di Malaysia masih perlukan penelitian dan strategi penambahbaikan.
Defisit dan Hakisan Sosial
Peningkatan Indeks Perpaduan Nasional dengan hanya 0.05 peratus bagi tempoh 2 tahun, menggambarkan situasi perpaduan di Malaysia masih mengalami defisit dan hakisan sosial.
Laporan Dasar Perpaduan Negara, Kementerian Perpaduan pada tahun 2021 menunjukkan terdapat 10 penyumbang defisit sosial yang menjadi kegusaran rakyat dan keprihatinan kerajaan.
Sepuluh defisit sosial ini meliputi etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik federalism, ruang bandar-desa dan media. (Rujuk Foto 1: Defisit Sosial. Sumber: Laporan Dasar Perpaduan Negara, 2021)
Defisit sosial bermaksud kekurangan dalam konteks sosial yang memerlukan usaha berterusan untuk meningkatkan kesepaduan.
Tafsiran sosiologikal menunjukkan bukan sahaja terwujud situasi defisit sosial malah keadaan ini turut mengakibatkan kelestarian atau kesinambungan penghayatan etika dan peradaban semakin terhakis pada masa kini dan menggugat perpaduan nasional.
Hakisan sosial ini terjadi ekoran gelombang maklumat palsu yang berniat membakar sentimen etnik dan agama dalam dunia digital tanpa etika. Kesannya, keharmonian dan kestabilan negara menjadi goyah.
Terdapat empat aspek utama kehakisan sosial yang berlaku iaitu defisit sosial golongan miskin yang bermasalah mendapat peluang dan akses kepada pendidikan dan kesihatan.
Aspek kedua ialah tadbir urus dan pembangunan iaitu keadilan, keterangkuman, implikasi pengkelasan ekonomi B40, M40 dan T20 serta kelemahan khusus dalam mengurus B40.
Aspek ketiga; media digital yang sukar dikawal selia. Mempromosi hasutan etnik, mempersenda agama dan memprovokasi isu-isu Perlembagaan Persekutuan.
Kepantasan penyampaian dan penerimaan maklumat menjadi ledakan informasi yang menggugat kestabilan dan perpaduan jika tidak diiringi dengan kecekapan penapisan kendiri.
Manakala aspek keempat ialah black economy dan rasuah iaitu perdagangan manusia, pekerja asing tanpa dokumen, pelacuran, judi, dadah dan rasuah dalam kalangan agensi-agensi keselamatan dan pembangunan negara terus berlaku sekali gus melebarkan jurang integrasi dan solidariti generasi sedia ada.
Malah agenda memerangi rasuah kadang kalanya menjadi bahan senda gurau dan sinis diperkatakan.
Kerangka kefahaman dan kesedaran masyarakat
Membina sebuah negara yang aman serta masyarakat yang bersatu padu bukanlah satu usaha yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama dari semua etnik di Malaysia.
Membentuk persefahaman dan kesepaduan memerlukan agen penggerak yang berdedikasi untuk terus- terusan membawa aura positif untuk merapatkan anggota masyarakat.
Masyarakat seharusnya mengenang kembali sejarah untuk mendapatkan kemerdekaan supaya mereka lebih menghargai erti keamanan yang dinikmati pada hari ini.
Prinsip Rukun negara harus diamalkan kerana ia merupakan asas kerukunan hidup bermasyarakat, permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya “kesatuan hati”.
Cukuplah 13 Mei 1969 menjadi pengajaran dan kesedaran masyarakat bahawa di Malaysia kita ini merupakan sebuah keluarga besar yang mempunyai kepelbagaian etnik, bangsa, agama, budaya dan kepercayaan yang perlu saling disantuni, untuk mencapai keharmonian dan kedamaian.
Perpaduan dan keharmonian menjadi teras negara untuk mempertingkatkan dan mempergiatkan usaha pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara.
Permuafakatan dengan menerima dan saling bertolak ansur sesama etnik sangat penting kerana ia akan mewujudkan keadaan saling memahami tanggungjawab anggota masyarakat mengekalkan keadaan yang tenang serta harmoni.
Media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu memformulasikan masyarakat majmuk di Malaysia menjadi masyarakat yang bersatu padu dan bekerjasama.
Ini kerana pengaruh media terhadap minda golongan muda sangat cepat meresap. Ada kalanya mereka tidak sempat membezakan beberapa hal atau isu yang sahih.
Oleh itu pihak media perlu memainkan peranan yang betul sebagai agen penghubung dalam dunia tanpa sempadan ini.
66 Tahun Malaysia dan Jati diri warganya
Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 66 bakal disambut tiga bulan lagi. Adakah nanti kita dan anak-anak merdeka Malaysia masih seronok meraikan tema kemerdekaan tanpa kefahaman dan pengukuhan jati diri Malaysia?
Dasar Perpaduan Negara jelas mengariskan matlamatnya untuk membentuk rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati Perlembangaan Persekutuan dan Rukun Negara, membangunkan identiti nasional dengan semangat jati diri dan ciri keperibadian yang tinggi, serta rakyat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Perpaduan bersifat dinamik. Walaupun sukar untuk mendapat perpaduan mutlak, namun usaha memupuk, memelihara dan mengukuhkan perpaduan wajar berkesinambungan tanpa henti.
Sudah pasti kesinambungan program bagi peningkatan kesepaduan nasional sangat diharapkan sebagai petunjuk indikasi yang positif dan memberangsangkan dalam memaknakan Kerajaan Perpaduan yang berjiwa MADANI.
Rahmahtunnisah Sailin adalah Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS)
Dr Rosfazila Abd Rahman adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras, Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
Kolumnis AWANI
Thu May 25 2023
Perpaduan dan keharmonian menjadi teras negara untuk mempertingkatkan dan mempergiatkan usaha pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara. -Gambar hiasan/Bernama
176 warga asing ditahan di Bukit Bintang
Seramai 176 warga asing ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, malam ini.
Wanita hilang selama 11 hari di Sitiawan ditemui di Kajang
Ling Siew Siew disahkan berada di Kajang oleh ahli keluarganya yang memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
WEF 2025: Selatan Global perlu gesa kepada pembaharuan struktur antarabangsa - PM
Anwar berkata pakatan seperti BRICS adalah penting sebagai mekanisme untuk membincangkan mengenai pembaharuan dan membolehkan semua pihak mendapat manfaatnya.
AWANI Ringkas: Najib anggap surat derma daripada Arab Saudi tulen
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Beberapa orang ditikam di stesen keretapi di tengah Jepun, seorang tidak sedarkan diri
Beberapa orang ditikam pada petang Rabu di sebuah stesen kereta api yang merupakan hab pengangkutan ke kawasan ski, terletak di tengah Jepun.
Trump umum pelaksanaan 10 peratus tarif ke atas import dari China mulai 1 Februari
Trump pada Selasa berkata tarif 10 peratus ini adalah tindak balas terhadap peranan China dalam krisis fentanyl.
Seludup besi: Enam ditahan, barangan bernilai RM113 juta dirampas
Enam individu ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berumur antara 33 hingga 50 tahun.
Banjir di Sarawak: Jumlah mangsa di PPS Saratok kini 91 orang
Sebanyak 91 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rumah Dayak, Saratok susulan banjir yang melanda daerah itu, setakat 8 malam tadi.
MyAqsa Foundation akan serah bukti jenayah Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa
Bukti-bukti berkenaan dikumpulkan dengan kerjasama penyelidik dari UIAM sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023.
Consider This: Education — Learning from Indonesia’s Experience
To mark International Day of Education on January 22nd, on this episode of #ConsiderThis Melisa Idris speaks with education consultant & reform advocate, Dzameer Dzulkifli. He is the former Programme Lead of Guru Tribe, under Indonesia’s GovTech Edu, where from 2020 to 2024, he supported Indonesia's Ministry of Education in transforming its education policies. Prior to that, in 2009, he co-founded Teach For Malaysia—leading it for a decade to build a network of over 500 education changemakers. And later, he served as CEO of Yayasan Tunku Abdul Rahman—championing tertiary education for low-income communities.
Perpaduan: Bukan hanya soal perbezaan untuk disepadukan
Usaha berterusan mewujudkan perpaduan di Malaysia yang dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi yang berkesinambungan wajar disahut penuh amanah oleh setiap peringkat masyarakat.