Astro AWANI difahamkan penerbangan tersebut membawa 259 jemaah daripada bawah dua agensi untuk melakukan ibadah umrah.
Seorang penumpang mendakwa, kapal terbang tersebut mengalami gegaran sewaktu berlepas, dan berlegar-legar di ruang udara Malaysia kira-kira dua jam sebelum berpatah balik ke KLIA.

Pemerhatian melalui laman web Flightradar mendapati, pesawat tersebut berlepas dari KLIA kira-kira jam 2.50 petang Ahad, dan terbang pada ketinggian 10,000 kaki, sebelum dilihat berlegar-legar berhampiran Pulau Tengah.
Pesawat tersebut kemudian mula turun ke paras 6,000 kaki pada pukul 4.15 petang, sebelum melakukan beberapa lagi pusingan dan akhirnya selamat mendarat kira-kira jam 5 petang.

Kesemua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan yang selamat.
Astro AWANI sedang menunggu pengesahan daripada pihak Malaysia Airlines susulan insiden tersebut.
