Ringkasan AI
- Petronas membelanjakan lebih RM600 juta dalam pendidikan dan pembangunan modal insan di Sarawak sepanjang 10 tahun lepas, memberi manfaat kepada 680,000 warga dengan biasiswa dan program latihan, serta menyediakan 4,300 peluang pekerjaan.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya hasil besar yang diraih oleh negara melalui dana Petronas untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
- Anwar juga mengiktiraf peranan Petros dalam menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak, dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata seramai 680,000 warga Bumi Kenyalang itu mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik, manakala 4,300 orang pula mendapat peluang pekerjaan di Petronas.
"Sayugia diingat bahawa hasil besar yang diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana Petronas sebagai dana utama dari peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
"Ini semua berkat negeri Sarawak, Bumi Kenyalang dan kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan. Sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak," katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi penerangan Perdana Menteri berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan Petronas dan Petros di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 14 Jan lepas Perdana Menteri berkata beliau percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar dilaporkan berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.
Dalam sesi penerangan hari ini Anwar berkata Petronas memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai antara gergasi di dalam industri petroleum dunia, malah muncul sebagai antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.
Kini dengan kemunculan Petros, beliau berkata terdapat kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan.
"Maka adalah satu kewajaran dimeterai permuafakatan, agar tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak dan memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan Petros selanjutnya," katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Petronas dan Jemaah Menteri yang bersetuju untuk menjadikan Petros sebagai pengagregat gas tunggal di negeri itu, serta kerajaan negeri Sarawak kerana kerjasama yang diberikan sepenuhnya.
"Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan bagi menjamin kesejahteraan negara dan negeri Sarawak," katanya.
-- BERNAMA
