Ringkasan AI
- MARDI akan memperketat SOP dan menambah baik pengurusan keselamatan selepas kematian petugas akibat disengat lebah di Stesen MARDI Kemaman bulan lalu.
- Langkah keselamatan ini akan dilaksanakan di semua stesen penyelidikan MARDI bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa diutamakan.
- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dijadualkan menjalankan audit menyeluruh terhadap aspek keselamatan di ladang MARDI Kemaman dalam masa terdekat.
CHUKAI: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperketat prosedur operasi standard (SOP) serta menambah baik pengurusan keselamatan di lapangan susulan kematian seorang petugas akibat disengat lebah di Stesen MARDI Kemaman, Ayer Putih dekat sini, bulan lepas.
Ketua Pengarah MARDI Dr Sanimah Simoh berkata langkah itu akan dilaksanakan di semua stesen penyelidikan MARDI di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa diberi keutamaan serta meminimumkan risiko kemalangan.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Kanan MARDI dengan beberapa tindakan susulan dirancang bagi memperkukuh pematuhan terhadap SOP keselamatan sedia ada.
“Pihak pengurusan MARDI memandang serius aspek keselamatan petugas, terutamanya mereka di lapangan. Kita telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat dan tindakan susulan akan dilaksanakan bagi memperketat SOP serta memastikan setiap arahan kerja dipatuhi.
“Mesyuarat berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja juga akan diadakan secara berkala bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa dipantau dan penambahbaikan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sanimah juga mengingatkan semua warga kerja MARDI, khususnya petugas di lapangan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi prosedur dan arahan kerja yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Sanimah berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dijadualkan menjalankan audit menyeluruh terhadap aspek keselamatan di ladang MARDI Kemaman dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli mengesahkan pembantu am MARDI Hafizul Mat Nor, 40, maut selepas disengat lebah ketika mengambil madu di ladang di Stesen MARDI Kemaman pada pagi 24 Okt.
-- BERNAMA