SUNGAI BESI: Individu yang dipanggil menjalani latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 perlu hadir melapor diri dan memohon penangguhan jika mempunyai halangan berbuat demikian.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran juga menjelaskan, individu terpilih namun terikat dengan komitmen kerja, perlu meminta pelepasan daripada majikan masing-masing.

“Untuk siri pertama ini adalah secara sukarela, tetapi untuk siri kedua dan seterusnya adalah ikut perkerahan bersyarat.

“Maknanya apabila seseorang dipanggil untuk menjalani latihan PLKN, mereka perlu hadir dan sekiranya berhalangan atau mempunyai masalah masalah tertentu, mereka kena memohon (kepada JLKN) untuk membuat penangguhan dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Ya'cob berkata, majikan perlu memberi alasan yang munasabah jika tidak memberi pelepasan kepada pekerja untuk menyertai PLKN.

“Majikan perlu memberi justifikasi kenapa mereka tidak memberi pelepasan kepada bakal-bakal pelatih untuk menyertai latihan.

“Ini kerana tanggungjawab mereka (pelatih) kerana terikat dengan Akta Latihan Khidmat Negara.

“Jadi kalau sekiranya majikan tidak membenarkan, mungkin di proses lain (sesi lain), nanti kita akan laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi latihan menembak senjata ringan di Kem Perdana Sg. Besi, pada Sabtu.

Seramai 67 pelatih PLKN 3.0 siri pertama 2025 menjalani latihan menembak senjata ringan di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi pada pagi ini.

Mereka yang terdiri daripada 40 lelaki dan 27 perempuan ini memulakan sesi latihan pada 9 pagi dengan pantauan 10 jurulatih daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).