Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata kajian terhadap program khidmat negara menunjukkan kebanyakan negara menggunakan uniform celoreng tentera berbanding uniform seragam alternatif.
“Pakaian ini telah diuji dan dinilai. Jika kita mahu memperkenalkan pakaian seragam baharu, prosesnya akan mengambil masa lebih lama dan menelan kos lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai sesi latihan menembak senjata ringan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Tambah beliau, keputusan untuk menggunakan uniform celoreng tentera telah dipersetujui di peringkat nasional dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, dengan menggunakan uniform celoreng sedia ada, Kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan kerana sudah berada dalam inventori.
“Uniform celoreng ini akan dipulangkan selepas tamat latihan dan untuk siri PLKN seterusnya, ia akan terus digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai rasional penggunaan uniform celoreng tentera oleh peserta PLKN 3.0 berbanding corak celoreng biru yang digunakan sebelum ini.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)